Mohd Shafiq adakan lawatan mengejut di KIK
SHAH ALAM - Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah mengadakan lawatan mengejut ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar Johor Bharu pada Sabtu.
Mohd Shafiq berkata, tujuan lawatan itu adalah untuk melihat sendiri proses kerja serta isu-isu yang dihadapi oleh pengguna serta penjawat awam yang bertugas di kaunter Imigresen.
"Antara perkara yang diberi penekanan adalah menggalakkan penunggang motosikal mendaftar dan menggunakan sistem MBIKE agar proses imigresen berjalan lancar dan seterusnya mengurangkan tempoh menunggu khususnya pada hujung minggu.
"Dalam hal ini, pihak KIK dinasihatkan untuk mempromosi secara lebih agresif berhubung kemudahan digital sedia ada termasuk yang telah ditambahbaik supaya rakyat lebih peka terhadap perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Turut hadir semasa lawatan tersebut adalah Ketua Imigresen KIK, Dairin Unsil dan Pegawai Kastam bertugas Adzlin Husin.
Beliau turut meninjau kerja-kerja membaik pulih beberapa kaunter Imigresen di laluan kereta dan telah mengsyorkan supaya kerja penambahbaikan tersebut disegerakan tanpa sebarang kelewatan.
"Lawatan mengejut ini akan dilakukan lagi pada masa akan datang bagi memastikan semua proses-proses di kaunter sempadan berdaya saing, efisien dan sentiasa mesra rakyat.
"Saya juga berharap orang ramai, pengguna dan rakyat yang sering menggunakan laluan darat sempadan negara mematuhi undang-undang ketika keluar atau masuk dalam negara," katanya.
Untuk rekod, ini adalah lawatan mengejut kedua yang dilakukan oleh Mohd Shafiq di kompleks atau pejabat awam selepas melakukan perkara yang sama di Kementerian Sumber Manusia untuk menyaksikan sendiri proses kemasukan pekerja Bangladesh ke Malaysia selepas dakwaan wujudnya kartel minggu lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!