Wanita maut, anak perempuan patah tangan
BACHOK - Seorang wanita maut manakala anak perempuannya cedera selepas kereta dinaiki terbabas dan melanggar sebatang pokok di Jalan Beris Lalang, di sini, pada Sabtu.
Kejadian pada jam 10 malam itu mengorbankan kerani swasta terbabit, Aslina Ismail, 46, manakala anak perempuannya yang berusia 11 tahun cedera di kepala dan patah tangan.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaludin berkata, mangsa memandu kereta jenis Proton Gen 2 bersama anak perempuannya dalam perjalanan dari Besut menghala pulang ke rumah di Kampung Air Deras, Kota Bharu.
“Apabila sampai di Jalan Beris Lalang, Bachok, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri bahu jalan kemudian terus merempuh sebatang pokok.
“Mangsa dikejarkan Klinik Kesihatan Bachok untuk rawatan awal namun disahkan meninggal dunia pada jam lebih kurang 10.15 malam,” katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita pada Ahad.
Mohamad Ismail berkata, anak perempuan mangsa masih dirawat di hospital.
Ujar beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!