Jual air zamzam online: Penguatkuasaan bawah bidang kuasa KPDNHEP

Idris (dua dari kanan) menyerahkan replika cek bernilai RM66.01 juta kepada Muhammad Sanusi (dua dari kiri) bagi pemerkasaan Islam di Kedah, khusus kepada imam, bilal, guru takmir dan guru KAFA bagi tahun 2022.
.
Idris (dua dari kanan) menyerahkan replika cek bernilai RM66.01 juta kepada Muhammad Sanusi (dua dari kiri) bagi pemerkasaan Islam di Kedah, khusus kepada imam, bilal, guru takmir dan guru KAFA bagi tahun 2022. .
A
A
A

ALOR SETAR - Penjualan air zamzam secara dalam talian yang berleluasa dalam negara khususnya menjelang sambutan Aidiladha perlu dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, walaupun kerajaan Arab Saudi melarang pengeksportan air zamzam namun daripada aspek penguatkuasaan dalam negara ia perlu dirujuk bawah bidang kuasa KPDNHEP.

Menurutnya, ini kerana larangan oleh negara berkenaan tidak termaktub bawah perundangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Itu adalah peraturan Arab Saudi yang melarang pengeksportan air zamzam. Kalau didapati ada yang menjual secara terbuka, perkara itu mungkin perlu dirujuk kepada pihak KPDNHEP untuk tindakan penguatkuasaan,” katanya pada sidang akhbar selepas hadir program Multaqa Murabbi Ummah yang dirasmikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Seri Mentaloon pada Ahad.

Sebelum ini, Penguasa Penerbangan Awam (CAS) Saudi menetapkan setiap penumpang boleh membeli dan membawa pulang sebanyak lima liter sahaja air zamzam.

Bagaimanapun, carian Sinar Harian menerusi laman membeli-belah popular dalam talian mendapati terdapat penjual menawarkan air zamzam pada harga melebihi RM200 bagi botol berkapasiti 10 liter.

Idris bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada aktiviti seperti itu dianggap menyalahi perundangan susulan larangan itu dikuatkuasakan di negara Arab Saudi.

“Perlu rujuk KPDNHEP, hak Arab Saudi yang tidak membenarkan eksport. Dari segi tindakan undang-undang atau sebagainya, saya ingat ia tertakluk pada undang-undang bawah KPDNHEP, namun belum tentu lagi ada kesalahan yang dikaitkan,” katanya lagi.

Mengulas situasi terkini jemaah haji negara yang sedang menunaikan ibadah berkenaan, Idris memberitahu buat masa ini tiada aduan tambahan yang dikemukakan oleh jemaah Malaysia.

“Alhamdulillah, jemaah haji kita yang berada di sana sekitar 8,000 orang dalam keadaan baik dan berpuas hati dengan layanan yang ada.

“Tiada lagi masalah berbangkit lain yang diadukan jemaah,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!