‘Rasuah ibarat ambil hak orang lain’
SHAH ALAM - Perbuatan rasuah yang dilakukan oleh sebahagian pihak menyebabkan orang lain menerima kesan sampingannya.
Artis Budaya, Chik Asan berkata, perbuatan terlarang tersebut seharusnya dihindari oleh semua pihak tidak kira sama ada golongan yang berjawatan atau pekerja biasa.
“Rasuah satu benda yang tidak elok, ia ibarat kita mengambil hak orang lain.
Contohnya, kalau saya mohon sesuatu jawatan, ada orang lain juga mohon jawatan yang sama, kemudian orang tersebut memberi rasuah dan akhirnya dia dapat.
"Tetapi sebenarnya saya yang layak dapat berdasarkan temu duga. Jadi, rasuah ini tidak molek (bagus) sebab ambil hak orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu undangan Program Kafe Rasuah Busters (RB) sempena Konvoi RB Gempur Pahang pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau berkata, rasuah perlu dihapuskan sekiranya Malaysia mahu meningkatkan kemajuannya setanding dengan negara lain.
“Sekarang ini ada stadium dan masjid yang dibina kemudian runtuh. Ini semua angkara rasuah. Benda tidak elok dan tidak baik,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan anak muda terutama yang mempunyai jawatan penting perlu sentiasa menjalankan amanah dengan baik dan berintegriti.
“Saya selalu ingatkan, setiap benda kita buat, kena ingat dosa pahala. Kita ada kepercayaan dan ALLAH. Kalau kita membelakanginya, nanti ada kesan.
“Bagi anak muda kalau kita pegang apa jawatan, walaupun orang lambak dengan duit, emas segunung, kita kena ingat yang kita tidak perlu ini semua. Kita dibayar gaji untuk laksana amanah yang diberikan.
“Duit banyak pun, kalau hidup gelisah. Lebih baik hidup santai dengan titik usaha kita sendiri. Itu lebih manfaat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!