Azurin wira Malayan Tigress ikat Bangladesh
PASUKAN bola sepak wanita kebangsaan gagal melunaskan dendam kekalahan memalukan kepada Bangladesh selepas terikat tanpa jaringan pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Dhaka malam ini.
Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada penjaga gol negara, Azurin Mazlan atas tindakan berani menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya termasuk peluang keemasan pasukan tuan rumah sepanjang 90 minit aksi di Stadium Bir Sherestha Shaheed Shipahi Mostafa Kamal itu.
Pada perlawanan malam ini, skuad Malayan Tigress kendalian Jacob Joseph bergelut mencari rentak permainan sebelum Bangladesh memberi amaran awal menerusi rembatan Akhi Khatun dari luar kotak penalti pada minit kelapan yang memaksa Azurin merebahkan badan untuk menepis bola keluar.
Bangladesh terus menguasai permainan dan hampir memecah kebuntuan pada minit ke-11, namun tampanan Masura Parvin yang menerima hantaran rakan sepasukan dalam kotak penalti sedikit tinggi melewati palang gol.
Azurin sekali lagi bertindak cemerlang menafikan usaha Bangladesh memburu gol pembukaan selepas menepis sepakan lambung Sabina Khatun pada minit ke-17, sebelum pasukan negara akhirnya mula mendapat rentak untuk mengimbangi permainan.
Ketangkasan Azurin terus diuji pada babak kedua perlawanan yang menyaksikan beliau menyelamatkan sepakan percuma Krishnarani pada minit ke-56, sebelum terus mengawal gawang dengan baik meskipun mengalami beberapa kecederaan akibat pelanggaran dengan pemain lawan.
Kedua-dua pasukan buntu meledak jaringan yang dicari-cari sehingga wisel penamat dibunyikan.
Keputusan seri itu menyaksikan Malaysia gagal membawa pulang sebarang kemenangan dalam dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Bangladesh selepas dibelasah 0-6 di venue sama, Khamis lepas.
Dua aksi persahabatan itu, adalah sebahagian persediaan menghadapi Kejohanan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Filipina dari 4 hingga 17 Julai ini.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A dan akan memulakan kempen saingan bertemu Singapura pada 4 Julai, Indonesia (6 Julai), Filipina (8 Julai), juara terbanyak dan naib juara edisi 2019 Thailand (10 Julai) dan Australia pada 12 Julai. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!