Rayuan mangsa gempa Afghanistan
KABUL - Pemerintah Taliban pada Sabtu berjanji mereka tidak akan campur tangan dalam usaha antarabangsa untuk mengagihkan bantuan kepada puluhan ribu penduduk di kawasan terpencil di Afghanistan yang terjejas gempa berkekuatan 5.9 magnitud Rabu lalu.
“Segala bantuan akan disalurkan sendiri oleh badan antarabangsa seperti Program Makanan Sedunia (WFP) dan Tabung Kecemasan Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
“Wakil Emiriah Islam hanya akan membantu program mereka,” jelas Khan Mohammad Ahmad yang merupakan pegawai kanan di wilayah Paktika yang teruk terjejas bencana itu.
Jaminan itu diberikan selepas agensi bantuan sebelum ini pernah mendakwa pihak berkuasa Taliban cuba mengalihkan bantuan ke kawasan yang menyokong gerakan mereka.
Gempa dahsyat itu menimbulkan cabaran logistik kepada pemerintah yang masih belum diiktiraf secara rasmi oleh mana-mana negara setelah ia gagal menunaikan janji untuk memberikan hak sama rata kepada golongan wanita.
Tetapi, isu tersebut diketepikan buat sementara waktu apabila komuniti antarabangsa bertindak segera menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan.
“Kami masih belum menerima bantuan. Rumah dan kesemua barangan kami sudah tertimbus. Kami tinggal sehelai sepinggang.
“Ketika ini, kami sangat memerlukan bantuan wang untuk membeli barang keperluan seperti pakaian, tilam dan bekalan makanan,” kata Said Wali, penduduk di Serai iaitu sebuah perkampungan kecil berhampiran pusat gempa yang terletak kira-kira 200 kilometer di tenggara Kabul.
Sementara itu, penduduk di Wuchkai yang hanya dapat diakses menerusi laluan sempit dan boleh dilalui sebuah kenderaan pada satu-satu masa turut terkesan bencana tersebut.
Penduduk yang terselamat kini cuba mencari tempat perlindungan di tapak rumah mereka yang musnah dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada konvoi bantuan yang mula tiba di kawasan tersebut.
“Saya berharap komuniti antarabangsa dapat menyediakan keperluan asas kepada kami untuk meneruskan hidup,” kata Raqim Jan, 23, yang kehilangan seramai 11 ahli keluarganya setelah kediaman satu tingkat didiami mereka runtuh.
Dia kini tinggal bersama empat keluarga lain termasuk 15 wanita dan kira-kira 20 kanak-kanak di bawah tiga khemah besar yang didirikan berhampiran tapak rumah mereka.
Menurutnya, bantuan telah tiba, namun dia bimbang sampai bila ia dapat bertahan.
“Khemah, bekalan makanan dan tepung yang kami terima tidak mencukupi untuk tempoh beberapa minggu akan datang,” ujarnya dalam nada sedih.
Usaha penghantaran bantuan kepada penduduk di perkampungan terpencil dikatakan berdepan kesukaran kerana kawasan tersebut dilanda hujan lebat berterusan dan mengakibatkan aliran lumpur dan runtuhan batu di lereng gunung sehingga menutup jalan utama.
Talian komunikasi juga terputus selepas menara dan tiang kuasa runtuh akibat gempa kuat tersebut yang meragut lebih 1,000 nyawa.
Selain itu, hampir 10,000 rumah penduduk yang kebanyakannya diperbuat daripada batu bata lumpur dilaporkan musnah. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!