[VIDEO] Isu minyak masak peket: Kerajaan segera bertindak
SHAH ALAM - Akhir-akhir ini isu minyak masak sering diperkatakan oleh orang ramai apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan untuk menghentikan pemberian subsidi kepada minyak masak botol.
Pemberian subsidi bagi minyak masak peket masih diteruskan bagi memastikan warganegara Malaysia masih dapat menikmati dan membeli barangan keperluan asas tersebut dengan harga yang berpatutan.
Oleh yang demikian, timbul pula isu lain apabila subsidi yang diberikan oleh kerajaan telah disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab demi kepuasan dan keuntungan diri sendiri.
Ada pihak yang mendakwa bahawa minyak masak bersubsidi tersebut disembunyikan oleh pihak ketiga bagi menjualnya dengan harga yang lebih tinggi seterusnya membawa keuntungan yang berganda.
Menurut tinjauan Sinar Harian, terdapat peniaga secara dalam talian menjana pendapatan lumayan apabila memanipulasi harga minyak masak peket bersubsidi dengan menjualnya secara pakej bersama produk lain.
Hasil tinjauan di platform pembelian terkenal mendapati, ada peniaga yang menjual minyak masak peket subsidi lima kilogram (kg) bersama dua peket mi segera dan satu peket minuman coklat dengan harga RM50.
Mengambil kira penjualan tersebut, peniaga telah mengaut keuntungan sekitar RM11.70, tidak termasuk caj perkhidmatan dan penghantaran.
Oleh itu, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas dengan tidak membenarkan penjualan minyak peket secara dalam talian, kata Timbalan Pengerusi Persatuan Peniaga Petaling Jaya, Zambri Shahbhari.
Menurut beliau, ia sama sekali dilarang dan perlu dikenakan tindakan tegas kerana menyebabkan golongan yang kurang berkemampuan terbeban.
Beliau turut berharap agar pihak berkuasa dapat memantau kegiatan tersebut agar ia tidak terus berleluasa.
Sementara itu, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berharap agar pengguna perlu lebih bertanggungjawab dengan tidak menyokong dan membeli daripada penjual yang mengambil kesempatan.
Dalam masa sama, perkara tersebut turut mendapat perhatian Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan menggesa agar kerajaan memperkasakan penguatkuasaan dengan serta-merta.
Ini kerana beliau berkata, terdapat kebimbangan dalam kalangan masyarakat berkenaan keberadaan minyak masak peket yang mencukupi di pasaran.
Menurutnya, dikhuatiri juga golongan bukan sasar mengambil kesempatan untuk membeli minyak masak peket tersebut.
@sinarharianonline Korang faham tak apa akan berlaku? #fyp#TrendingNewsMalaysia#BuletinTikTok#TikTokNews#SubsidiMinyak#MinyakMasak original sound Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!