Guru beli lembu sado RM20,000 untuk korban

Azura membeli lembu sado berharga RM20,000 daripada Mat sempena sambutan korban tahun ini
Azura membeli lembu sado berharga RM20,000 daripada Mat sempena sambutan korban tahun ini
A
A
A

TEMERLOH - Seorang guru di sini sanggup menghabiskan RM20,000 untuk mendapatkan seekor lembu sado jantan seberat hampir 1000 kilogram (kg) sempena sambutan korban tahun ini.

Azura Ilyani Alias, 38, yang juga seorang usahawan memberitahu, tahun ini beliau ingin mencari kelainan untuk sambutan korban.

"Saya berbincang bersama suami dan dia menyokong pilihan untuk memilih lembu sado kali ini.

"Lembu baka Charolais dari Perancis ini akan dikorbankan di Masjid Makmur Kampung Losong Dato Amar di Kuala Terengganu pada sambutan hari raya kedua Aidiladha nanti," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau ditemui bersama suaminya, Roslan Basri, 46 di Sungai Kepong dekat Lanchang di sini.

Ujar Azura lagi, beliau mengambil peluang selepas negara dilanda jangkitan Covid-19 sejak beberapa tahun lalu untuk memeriahkan sambutan korban kali ini.

Mat bersama lembu sado, Boy dengan berat mencecah hampir 1000kg dibela sejak lahir
Mat bersama lembu sado, Boy dengan berat mencecah hampir 1000kg dibela sejak lahir

Sementara itu pemilik lembu, Mat Abdul Wahid, 42, memberitahu walaupun sayang terhadap lembu yang diberikan nama "Boy" itu namun kekangan kos khususnya makanan yang semakin tinggi menyebabkan dia melepaskan lembu berusia 2 tahun 9 bulan itu.

"Kos makanan iaitu palet bersama rumput napier mencecah lebih RM15 sehari untuk "Boy" sahaja.

"Jadi bila ada tawaran harga yang menarik ini saya lepaskan walaupun sayang sebab pelihara sejak lahir lagi selain manja dengan saya," ujarnya.

Tambahnya, untuk sambutan korban kali ini, sebanyak 10 ekor lembu termasuk "Boy" sudah ditempah pelanggan.

"Syukur memang tahun ini rezeki untuk saya selepas beberapa tahun terjejas akibat Covid-19," katanya lebih 10 tahun terbabit dalam aktiviti ternakan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!