26 pasangan pengantin dirai

Kira-kira 26 pasangan diraikan dalam Program Mahligai Sejahtera 2019.
Kira-kira 26 pasangan diraikan dalam Program Mahligai Sejahtera 2019.
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 26 pasangan pengantin baharu diraikan sempena Program Mahligai Sejahtera 2019 di Kompleks Pas Kedah, Batu 9.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, pihaknya mengambil inisiatif menganjurkan program berkenaan bagi membantu golongan berpendapatan rendah mendirikan rumah tangga.

Menurutnya, pasangan yang dipilih menyertai program ini adalah mereka yang berpendapatan kira-kira RM1,500 ke bawah.

"Pasangan muda yang baru bergelar suami isteri terbabit hanya perlu membayar kira-kira RM2,000 dan ia meliputi pelbagai kos antaranya seperti jamuan makan.

"Malah, ada juga pakej percutian diberikan kepada pasangan Mahligai Sejahtera 2019 yang bertuah," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Dewan Dato' Fadzil Mohd Noor, di sini.

Dr Ahmad Fakhruddin
Dr Ahmad Fakhruddin

Hadir sama, Pengerusi Program Mahligai Sejahtera 2019, Musoddak Ahmad dan Pengarah Program Mahligai Sejahtera 2019, Datuk Siti Ashah Ghazali.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, program yang diadakan itu merupakan kelangsungan idea dicetuskan bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Menurutnya, pihaknya bercadang mengadakan lagi program berkenaan di masa akan datang berikutan sambutan hangat diberikan pasangan pengantin.

Sementara itu, Nurul Najihah Saad, 24, dari Kampung Belantik, Sik, bersyukur apabila impiannya membina mahligai dengan suaminya, Ahmad Syahmi Ramli yang dikenali sejak enam tahun lepas ketika melanjutkan pengajian di Politeknik Seberang Perai direalisasikan dalam Mahligai Sejahtera 2019.

"Alhamdulillah, saya gembira diraikan dengan majlis kahwin beramai-ramai yang penuh sejarah ini dengan hanya kos sekitar RM2,000 yang amat murah sekali," katanya.

Nurul Najihah bersama suaminya, Syahmi menunjukkan pakej perkahwinan diterima mereka.
Nurul Najihah bersama suaminya, Syahmi menunjukkan pakej perkahwinan diterima mereka.

Lebih istimewa katanya, mereka berdua turut menerima tajaan pakej perkahwinan selama dua hari satu malam di HIG Hotel, Langkawi.

Terdahulu, kira-kira 26,000 tetamu menghadiri program anjuran Badan Perhubungan Pas Kedah (BPPNK) dengan kerjasama Dewan Muslimat Pas Kedah (DMPNK) bermula jam 8.30 pagi hingga 3 petang itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!