LAFC percaya Bale mampu bantu lakar kejayaan
PIHAK pengurusan pasukan Los Angeles FC (LAFC) percaya kehadiran Gareth Bale ke kelab berkenaan bakal membantu kelab itu melakar lebih banyak kejayaan dalam saingan Liga Bola Sepak Utama (MLS) Amerika Syarikat musim baharu kelak.
Menurut pengendali LAFC, Joe Thorrington, pihaknya yakin kehadiran Bale dapat membantu memantapkan lagi pasukan yang terkenal dengan gelaran The Black and Gold itu, terutama bagi saingan MLS bahagian barat.
“Kita percaya kehadiran Bale akan membantu kejayaan pasukan musim ini.
“Kita juga telah mengadakan perbincangan dengannya dan setakat ini semua urusan berjalan lancar.
“Malah, hasil perbincangan itu, kedua-dua pihak dilihat turut memahami tugas-tugas yang perlu dilaksanakan dalam usaha merealisasikan kejayaan musim baharu nanti,” katanya.
Untuk rekod, kehadiran Bale dilihat bakal memantapkan lagi pasukan berkenaan setelah berjaya mengikat pertahanan kental Itali, Giorgio Chiellini beberapa minggu lalu.
LAFC kini sedang mendahului bagi saingan bahagian barat MLS dengan 33 mata setelah mengharungi 16 perlawanan setakat ini termasuk kemenangan 2-0 mengatasi New York Red Bulls, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Thorrington berharap, Bale akan dapat menyertai skuad kendaliannya itu dalam tempoh terdekat terutama bagi mengharungi aksi berdepan LA Galaxy, 8 Julai depan.
Katanya, jika Bale dapat hadir dalam tempoh berkenaan, penyerang Wales itu berpeluang melakukan debut dalam saingan MLS.
“Kita mengharapkan Bale dapat segera hadir dan beraksi, tetapi kita juga faham dia perlu melalui ujian kecergasan selain ujian kesihatan terlebih dahulu.
“Apapun, kita mengharapkan kesemua urusan berjalan lancar dan Bale boleh mula beraksi dengan segera,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!