Tiga pusat hiburan diserbu dalam Op Noda Khas

Tiga buah pusat hiburan di Petaling Jaya diserbu menerusi Op Noda Khas IPD Petaling Jaya pada Sabtu dan Ahad. - Foto PDRM
Tiga buah pusat hiburan di Petaling Jaya diserbu menerusi Op Noda Khas IPD Petaling Jaya pada Sabtu dan Ahad. - Foto PDRM
A
A
A

PETALING JAYA - Seramai tiga pengurus kelab malam bersama lima pekerja pekerja warga asing ditahan menerusi Op Noda Khas dalam serbuan berasingan di tiga premis hiburan di sini, pada Sabtu dan Ahad.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, seramai 663 pengunjung diperiksa sepanjang serbuan dijalankan namun mereka dilepaskan kerana didapati tidak melakukan sebarang kesalahan.

"Seramai lima pekerja tempatan bersama 33 pelanggan diperiksa dalam serbuan pertama di sebuah pusat hiburan di Damansara Utama, kira-kira jam 9.45 malam Sabtu.

"Pemeriksaan lanjut mendapati premis tersebut mengemukakan lesen perniagaan yang sah tetapi gagal mengemukakan lesen perniagaan minuman keras. Oleh itu, pengurus premis ditahan untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Fakhrudin berkata, dalam serbuan kedua pada Ahad, seramai 113 pengunjung telah diperiksa, manakala lima pekerja warga asing ditahan kerana tiada permit bekerja yang sah.

"Pengurus premis ditahan kerana menjual minuman beralkohol tanpa permit sah selain beroperasi melebihi masa dibenarkan," katanya.

Sementara itu, dalam satu lagi serbuan di Bandar Utama, di sini kira-kira jam 2 pagi, seramai 517 pengunjung dan 12 pekerja warga tempatan diperiksa namun dibebaskan kerana didapati tidak melanggar sebarang peraturan.

"Bagaimanapun, pengurus premis terbabit ditahan kerana beroperasi melebihi masa yang dibenarkan. Sebanyak 38 botol minuman keras pelbagai jenama sepanjang operasi tersebut turut dirampas.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 76(1) Akta Eksais 1976, Seksyen 55B, dan Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63, serta Seksyen 11(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Selangor 1995," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!