Wanita cedera parah ditimpa buah kelapa
BAYAN LEPAS - [DIKEMAS KINI] Seorang pembonceng motosikal cedera selepas ditimpa buah kelapa di Jalan Teluk Kumbar di sini, dalam kejadian petang Ahad.
Difahamkan wanita itu mengalami cedera parah di bahagian kepala serta badan selepas terjatuh dari motosikal yang dinaikinya dan kini sedang menjalani rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Saksi kejadian, Md Ghazali Shaari, 62 berkata insiden itu berlaku kira-kira jam 3 petang ketika dia sedang melayan pelanggan di gerai durian miliknya berhampiran lokasi kejadian.
Menurutnya, sebelum ini sudah banyak kali buah kelapa luruh atas jalan sehingga kemuncaknya semalam apabila buah terbabit menimpa pembonceng motosikal yang melalui jalan ini.
“Kejadian berlaku sekelip mata, saya dengar bunyi jeritan serta dentuman jatuh sebelum melihat topi keledar serta seorang wanita tergolek atas jalan.
“Kenderaan banyak ketika itu dan saya bersama orang awam di lokasi kejadian segera memberhentikan kenderaan agar tiada pelanggaran berlaku ke atas mangsa," katanya ketika ditemui di sini, pada Isnin.
Md Gazali berkata, dia segera menghubungi talian kecemasan bagi melaporkan kejadian itu sebelum mangsa dikejarkan ke hospital dengan ambulans tidak lama kemudian
Mengulas lanjut Md Ghazali berkata, pihaknya berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) segera melakukan kerja pemotongan pokok di kawasan berkenaan memandangkan ini bukan insiden pertama buah kelapa luruh di atas jalan.
“Memang selalu buah kelapa luruh dan ada kejadian terkena kenderaan saja. Semalam baru pertama kali insiden di mana buah itu menimpa pengguna jalan raya.
“Kita harap sangat pihak ADUN kawasan mengambil tindakan segera menangani masalah ini agar kejadian sama tidak berulang,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga durian berhampiran mendakwa, dirinya hampir ditimpa buah kelapa dua minggu lalu.
Lelaki yang ingin dikenali sebagai Ong mendakwa, banyak pokok kelapa di tepi jalan utama Teluk Kumbar itu namun tiada tindakan pemotongan dilakukan oleh pihak berwajib.
“Sebelum ini sudah banyak kali buah jatuh tapi sekarang sudah kena orang baru ada tindakan.
“Saya harap pemotongan pokok di bahu jalan ini mampu mengelakkan insiden sama berlaku lagi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!