Malaysia bina hubungan baik dengan EU demi industri sawit negara

Gambar kecil: Zuraida Kamaruddin
Gambar kecil: Zuraida Kamaruddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia berazam untuk membina hubungan baik dengan Kesatuan Eropah (EU) demi penyelesaian menang-menang untuk industri sawit negara walaupun blok perdagangan itu menentang perdagangan minyak sawit sejak 2003.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, Malaysia bertekad untuk terus menyalurkan pelbagai maklumat terkini mengenai industri minyak sawit - khususnya dari aspek kesihatan dan pemakanan dan kemampanan, bagi menghapus tanggapan yang salah mengenai minyak sawit dan produk berkaitannya dalam kempen anti-minyak sawit di EU.

Beliau berkata ini sedang dilakukan melalui pelbagai platform, antaranya Kumpulan Kerja Bersama ASEAN-EU, program seminar atau webinar dan dialog serta perbincangan melalui misi promosi ekonomi dan minyak sawit.

"Sejajar dengan usaha ini adalah dua inisiatif iaitu program perkongsian Malaysia-EU yang bertujuan untuk meningkatkan kelestarian perdagangan minyak sawit dan kerjasama di bawah Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).

"Di bawah inisiatif perkongsian Malaysia-EU, terdapat dua program yang penting - projek Kelestarian Minyak Sawit Malaysia dan Indonesia, yang juga dikenali sebagai Keberlanjutan Sawit Malaysia dan Indonesia (KAMI); dan Inisiatif Kebangsaan Pekebun Kecil Kelapa Sawit Mampan dan Pintar Iklim (NI-SCOPS) dengan Belanda," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Dalam inisiatif CPOPC, Malaysia bekerjasama rapat dengan Indonesia untuk menentang kempen anti-minyak sawit di peringkat global.

Justeru, pelbagai program telah atau sedang dilaksanakan untuk menggagalkan serangan kempen anti-minyak sawit, katanya.

Antara program penting di bawah CPOPC termasuk misi bersama ke Eropah di bawah CPOPC dengan penyertaan Malaysia dan Indonesia untuk mengadakan perbincangan dan perundingan dengan EU dalam pengurusan isu berkaitan minyak sawit di Eropah

"Mengambil kira situasi terkini Ukraine-Rusia dan perubahan cuaca yang menyebabkan kekurangan bekalan minyak soya dan bunga matahari, ini merupakan peluang keemasan untuk Malaysia mempromosikan kebaikan minyak sawit kepada EU agar dapat mengisi kelompangan bekalan minyak masak dunia.

"Dunia seharusnya meyakini potensi minyak sawit Malaysia kerana inisiatif kemampanan minyak sawit negara. Ini dilakukan menerusi pelbagai kempen berterusan kementerian yang giat dilaksanakan bagi mempertahankan imej minyak sawit yang memiliki reputasi harga komoditi yang tinggi selain situasi pengeluaran minyak masak dunia yang tidak stabil buat masa ini," jelas Zuraida. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!