Kejayaan anak-anak Palestin inspirasi MyCare- Econsave

Humanitarian Care Malaysia Bhd (MyCare)
Humanitarian Care Malaysia Bhd (MyCare)
A
A
A

GAZIANTEP (Turkiye) - Kisah anak-anak Palestin yang berjaya selepas mengikuti pembelajaran di sekolah As-Solah dan Siti Khadijah di Deir Balah (di tengah Semenanjung Gaza) menjadi inspirasi Humanitarian Care Malaysia Bhd (MyCare) dan Pasaraya Econsave Cash and Carry untuk mengulangi kejayaan membina sekolah bagi anak-anak pelarian di Syria pula.

Ahli Pemegang Amanah MyCare Johor Dr Mohd Zin Kandar berkata, dua sekolah tersebut yang pertama dibina menerusi kerjasama strategik kedua-duanya pihak itu telah beroperasi selama lima tahun dan kini mempunyai lebih 2,000 pelajar dan ada antara mereka telahpun melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi dan juga kembali menyumbang jasa kepada anak-anak Palestin.

"Sekolah itu sekolah komprehensif, berlainan daripada sekolah anak yatim di Malaysia. Memang sekolah kebangsaan tetapi dimiliki oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang fokus pada anak yatim di sana dan mereka ini cemerlang dalam akademik dan tahfiz. Ada salah seorang daripada mereka dah jadi doktor dan di waktu petang, dia mengajar tahfiz di sekolah berkenaan. Jadi kita nak mengulangi apa yang kita buat di Palestin, di Syria pula.

"Bagi kami, aspek pendidikan perlu diberi perhatian kerana ini adalah satu kaedah jangka panjang untuk sustainability sehingga anak-anak pelarian (Syria) ini akan mempelajari perkara-perkara asas seperti membaca, mengira dan menulis.

"Kita mengharapkan mereka akan dapat pendidikan seterusnya membolehkan mereka bukan sahaja membangun diri dan keluarga mereka tetapi sekali gus membangun kembali negara mereka yang telah hancur disebabkan konflik yang berlarutan sejak 2011," kata beliau sebaik tiba di bandar ini pada Isnin bagi misi kemanusiaan ke Syria yang bermula Sabtu sehingga 6 Julai ini.

Mohd Zin, yang mengetuai misi berkenaan, turut disertai sembilan yang lain termasuk Pengurus Besar Econsave Mas Imran Adam, tiga sukarelawan MyCare Johor serta lima pengamal media daripada Bernama, TV Al Hijrah, Utusan Malaysia dan Harian Metro.

Menurut beliau lagi, kini lebih 4.5 juta pelarian dan pelarian dalam negara dilaporkan berada di kem-kem pelarian di Jarabulus, Azaz dan Al Bab (tiga kawasan di Syria) dan di selatan Turkiye.

"Setelah beberapa inisiatif kerajaan Turkiye, pelarian-pelarian tersebut yang sebelum ini berada di negara itu, telah dihantar ke tiga kawasan berkenaan. Kawasan itu bukan kawasan kampung halaman mereka jadi mereka memerlukan bantuan luar setakat ini dan NGO seperti di Malaysia berusaha untuk memenuhi keperluan antaranya tempat perlindungan, barang makanan dan yang penting yang kami lihat adalah dari aspek pendidikan," kata beliau.

Misi utama kali ini menyasarkan pembinaan sekolah dengan kos RM1 juta di kawasan Azaz yang terletak kira-kira 80 kilometer dari Gaziantep, yang akan dimulakan dengan pecah tanah, kata Mohd Zin.

Selain itu, sebanyak RM500,000 juga diperuntukkan bagi bantuan makanan panas, peralatan sekolah kanak-kanak, kerusi roda serta lain-lain yang akan diedarkan di kem-kem pelarian yang akan dikunjungi.

Sementara itu, Mas Imran berkata pasar raya itu telah menjadi rakan strategik MyCare sejak 2011 menerusi tujuh misi kemanusiaan ke beberapa negara selain pelbagai projek tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Sejak 2011, kita telah berjaya mengumpulkan dana kira-kira RM9 juta hasil kutipan jualan amal dan tabung dana kemanusiaan yang diletakkan di 88 pasar raya kita seluruh negara. Untuk pendidikan kanak-kanak ini memang menjadi keutamaan kami dan kali ini, kita akan bina sekolah di Azaz, Syria dengan kos RM1 juta yang dijangka boleh menempatkan 1,000 pelajar.

"Kita pilih MyCare sebab ketelusan mereka (dalam melaksanakan projek dan misi kemanusiaan)," kata beliau, yang mengikuti kesemua tujuh misi tersebut antaranya di Lubnan, Syria serta Palu dan Lombok, Indonesia.

Selain dana daripada orang awam, Econsave juga telah membelanjakan lebih RM100,000 bagi kesemua misi berkenaan, kata Mas Imran.

Kumpulan misi kemanusiaan itu dijangka memasuki Syria esok menerusi Gaziantep dan memasuki kem-kem pelarian di Jarabulus, Azaz dan Al Bab, selepas mendapat kebenaran kerajaan Turkiye memandangkan kawasan berkenaan di bawah kawalan kerajaan itu.

Bagi mereka yang berminat untuk menyumbang bagi tabung kemanusiaan ini boleh menderma menerusi tabung kemanusiaan di 88 cawangan pasar raya Econsave atau menghubungi sendiri Pengurus Operasi MyCare Johor Mohamad Saadon Suleiman. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!