Polis gempur kelab malam, 9 GRO warga asing ditahan

Seramai sembilan GRO warga Thailand ditahan polis dalam serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di Kuchai Lama, Kuala Lumpur pada Ahad. - Foto PDRM.
Seramai sembilan GRO warga Thailand ditahan polis dalam serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di Kuchai Lama, Kuala Lumpur pada Ahad. - Foto PDRM.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai sembilan gadis pelayan pelanggan (GRO) warga Thailand ditahan polis dalam serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama di sini pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai berperanan sebagai penjaga premis.

Menurutnya, serbuan pada jam 10.30 malam hasil maklumat dan risikan itu dijalankan sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur.

"Siasatan mendapati, GRO berkenaan menerima bayaran tip berjumlah RM100 sejam untuk melayan pelanggan dan mereka dipercayai telah bekerja di premis terbabit sejak dua bulan lalu.

"Premis ini beroperasi sejak dua bulan lalu dan dipercayai tidak menawarkan perkhidmatan seksual," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, seramai 35 pengunjung dan seorang pekerja warga tempatan berusia lingkungan 22 hingga 58 tahun yang diperiksa dilepaskan kerana tiada kesalahan dilakukan ketika pemeriksaan dijalankan.

"Pihak polis merampas resit perniagaan dan peralatan audio serta menahan 10 individu berusia 20 hingga 39 tahun. Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, serta Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!