Tajuddin dakwa jadi saksi, SD sokong Anwar jadi PM wujud
PETALING JAYA - Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, mendakwa akuan bersumpah (SD) daripada ahli Parlimen UMNO untuk menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri (PM) memang wujud.
Tajuddin berkata, dia adalah saksi hidup yang turut menandatangani SD itu meskipun yang pada awalnya menolak cadangan pucuk pimpinan parti berkenaan.
"Jajaran baru... saya saksi hidup, tak usah nafi memang ada SD ditandatangan hendak sokong Anwar jadi perdana menteri dan surat ditulis pada istana memang ada.
"Saya juga digesa, saya cakap saya tak nak. Tetapi akhirnya sampai nak bermasam muka, saya akhirnya tandatangan.
"Saya yang tandatangan, macam mana (Zahid) kata tak ada," katanya dalam sidang media di Petaling Jaya pada Isnin.
Dalam hal itu Tajuddin berkata, beliau bersimpati kepada ahli-ahli UMNO di akar umbi kerana dibohongi pemimpin sendiri.
"Apabila disoal dekat luar, dia (Zahid) jawab no DAP, no PKR. Itu semua bohong. Dia berbohong kepada ahli UMNO...kepada orang ramai.
"Kasihan ahli-ahli UMNO di bawah...ikut saja kerana kena hormat presiden. Tak boleh menentang. Nayalah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!