WDETS bermula esok, Mustapa sampaikan ucapan perasmian
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dijangka menyampaikan ucapan perasmian pada Sidang Kemuncak Ekonomi Digital dan Teknologi Dunia (WDETS) di Kuala Lumpur pada Selasa.
Acara selama dua hari itu akan menghimpunkan pihak berkepentingan utama dalam ekonomi digital untuk membincangkan mengenai trend utama, cabaran strategik, isu-isu utama dan risiko yang memberi impak kepada masa depan digital.
Menurut Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik (KSI) dalam kenyataan pada Isnin, Pengerusi Majlis Ekonomi Lembangan Pasifik (PBEC) Hong Kong, Andrew Weir akan turut menyampaikan ucapan dan Presiden Forum Keamanan Paris Pascal Lamy akan menyampaikan ucaptama khas mengenai "Digital: Globalisation or Deglobalisation".
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin turut dijadual berucap pada majlis itu mengenai 'Pendigitalan Industri Perladangan'.
Bertemakan 'Creating Opportunities, Endless Possibilities', sidang kemuncak anjuran KSI itu akan mempunyai tiga landasan - Dasar, Perniagaan dan Transformasi serta Teknologi.
"Ia adalah pertemuan minda daripada ahli teknologi, usahawan digital, eksekutif korporat, penyokong dasar, generasi warga digital, pakar kesihatan, pendidik dan masyarakat untuk mengambil kira ekonomi digital masa depan dan bersedia untuk masa depan," menurut KSI.
Lebih 300 peserta dijangka menghadiri acara itu dan kira-kira 500 wakil melalui penyertaan secara maya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!