Pelajar disyaki ditekup bantal hingga mati oleh kekasih

Hoong Fong (dua dari kanan) menunjukkan barangan yang dirampas dalam kes bunuh melibatkan mangsa seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun pada sidang media di IPD Klang Selatan pada Isnin. - Foto Bernama
Hoong Fong (dua dari kanan) menunjukkan barangan yang dirampas dalam kes bunuh melibatkan mangsa seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun pada sidang media di IPD Klang Selatan pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KLANG - Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun mati dipercayai dibunuh oleh teman lelakinya di rumah lelaki itu di Kampung Idaman, Pandamaran dekat sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima panggilan telefon pada jam 3.40 pagi yang memaklumkan terdapat seorang remaja perempuan dalam keadaan tidak sedarkan diri di halaman rumah itu.

"Pada jam 2 pagi semalam (Ahad), suspek membawa mangsa ke bilik rumahnya, kemudian berlaku perselisihan faham dan suspek dipercayai telah menyebabkan kematian mangsa. Suspek kemudian telah mengangkat mangsa dan membawa keluar dari bilik hingga ke halaman rumah.

"Kemudian suspek meminta bantuan daripada ahli keluarganya yang sedang tidur di dalam rumah tersebut. Ahli keluarga kemudian menelefon polis memaklumkan mengenai kejadian itu dan kematian mangsa disahkan oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini pada Isnin,

Katanya, suspek berusia 24 tahun itu dan mangsa, pelajar Tingkatan Empat, sudah berkenalan selama setahun serta hubungan mereka diketahui keluarga masing-masing, selain mangsa tinggal di Puchong bersama bapa saudaranya.

Hoong Fong berkata, hasil pemeriksaan awal pada badan mangsa mendapati beberapa kesan calar dan lebam pada muka dan leher.

"Laporan bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan lemas akibat ditekup," katanya.

Beliau berkata, suspek yang tiada rekod lampau ditangkap di lokasi kejadian dan kini direman sehingga 3 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!