Kanak-kanak lima tahun maut disengat tebuan

Mohd Khalid menunjukkan gambar tiga anaknya yang disengat tebuan pada petang Ahad.
Mohd Khalid menunjukkan gambar tiga anaknya yang disengat tebuan pada petang Ahad.
A
A
A

KUALA NERUS - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut akibat disengat tebuan ketika bermain bersama dua kakaknya di taman permainan berhampiran rumah datuknya di Kampung Tok Jembal, di sini pada Ahad.

Eidrish Mohd Khalid yang disengat kira-kira 60 ekor tebuan disahkan meninggal dunia pada jam 11.20 malam di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Dua kakaknya, Nur Adelia Qaisara,10, dan Nur Aiyris Dania,7, yang turut disengat haiwan berbisa itu masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ namun mereka dilaporkan stabil.

Bapa mangsa, Mohd Khalid Omar, 40, berkata, kejadian berlaku pada jam 5.40 petang ketika mereka sekeluarga bersiap untuk pulang ke Ipoh, Perak selepas balik bercuti di kampung.

"Mereka tiga beradik pergi bermain di taman permainan berhampiran rumah. Tiba-tiba anak sulung datang beritahu adik disengat tebuan lalu saya berlari ke lokasi kejadian.

"Saya nampak anak (Eidrish) yang dikerumuni tebuan sudah lemah dan terus dihantar ke hospital," katanya yang turut dimasukkan ke HSNZ selepas terkena lebih 10 sengatan tebuan ketika menyelamatkan mangsa.

Mohd Khalid yang mengusahakan restoran di Ipoh bersama isteri, Norliza Shaparuddin,36, berkata, dia pulang ke kampung pada Jumaat lalu namun tidak menyangka kejadian tersebut menimpa mereka sekeluarga.

Jelas beliau, jenazah Eidrish yang merupakan anak ketiga dari lima beradik selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seberang Takir pada jam 10 pagi, Isnin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!