Tubuh Briged Malim Gunung Perhutanan banteras pencerobohan
KAMPAR - Malim Gunung Perhutanan (MGP) akan memainkan peranan untuk membantu membanteras kegiatan pencerobohan hutan dan aktiviti pemburuan haram.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, bagi tujuan itu, kementeriannya bercadang untuk menubuhkan Briged Malim Gunung.
Menurutnya, kementerian sedang berusaha memperkasa golongan MGP menerusi beberapa pelan tindakan yang akan dilaksanakan.
"MGP ini akan jadi antara mata dan telinga kepada Jabatan Perhutanan khususnya dari segi penguatkuasaan pencerobohan hutan dan juga membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi aktiviti pemburuan haram.
"Ketika ini kita melihat kepupusan haiwan-haiwan yang menjadi ikonik, Harimau Malaya pun dah tak ada, gajah pun dah diburu dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Malim Gunung Perhutanan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia di sini, pada Isnin.
Sementara itu, Takiyuddin berkata, pihaknya menyasarkan seramai 1,000 MGP di seluruh negara diberikan latihan pada tahun ini.
Menurutnya, sehingga kini terdapat seramai 590 MGP di seluruh negara yang sudah menjalani latihan yang dikendalikan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.
Beliau dalam pada itu turut mengumumkan pembayaran RM600 secara sekali bayar kepada pelatih MGP yang berjaya menamatkan 60 jam latihan, sebagai salah satu insentif galakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!