Sivasangari stabil, tiga bulan dijangka pulih: Ahmad Faizal

Sivasangari yang terlibat dalam satu kemalangan pada Ahad lalu dijangka memerlukan sekurang-kurangnya tiga bulan untuk sembuh sepenuhnya sebelum dapat kembali ke gelanggang.
Sivasangari yang terlibat dalam satu kemalangan pada Ahad lalu dijangka memerlukan sekurang-kurangnya tiga bulan untuk sembuh sepenuhnya sebelum dapat kembali ke gelanggang.
A
A
A
PEMAIN skuasy wanita negara, S Sivasangari yang terlibat dalam kemalangan kereta pada awal pagi Ahad, kini berada dalam keadaan stabil setelah diberikan rawatan rapi di Hospital Putrajaya.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang melawat Sivasangari pada petang Isnin memaklumkan, atlet berusia 23 tahun itu dijangka memerlukan sekurang-kurangnya tiga bulan untuk sembuh sepenuhnya sebelum dapat kembali ke gelanggang.

Beliau berkata, atlet kelahiran Kedah itu, yang juga merupakan pembawa Jalur Gemilang ke Sukan Komanwel 2022 Birmingham, tidak dapat menyertai temasya berkenaan yang dijadual bermula 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

"Status Siva (Sivasangari), dia sedar dan Alhamdulillah saya sempat berikan kata-kata perangsang dan sokongan kepada beliau...ibu bapanya juga berfikiran positif dan riak wajah Siva juga positif. Gembira beliau ada semangat yang begitu kental.

"Apabila saya mengetahui tentang ini, saya sangat bimbang, tapi apabila saya berbincang dengan pakar perubatan dan doktor yang begitu cekap merawat, mereka berkata keseriusan kecederaannya boleh sembuh, jadi saya rasa lega," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Sivasangari.

Ahmad Faizal berkata, pihak Institut Sukan Negara (ISN) turut akan memberikan rawatan susulan kepada Sivasangari sekiranya diperlukan untuk pulih sepenuhnya.

Beliau turut menasihatkan barisan atlet negara supaya tidak keluar ke mana-mana sekiranya tidak mempunyai keperluan dan kepentingan demi menjaga keselamatan terutamanya apabila menghampiri temasya sukan utama.

"Kita sebolehnya ingin mengelak sebarang insiden tak diingini menimpa atlet negara yang sudah mengadakan persiapan sekian lama...ia boleh menghalang mereka untuk bertanding. Saya harap seluruh negara sama-sama berdoa agar Sivasangari segera sembuh," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Hospital Putrajaya, Dr Mohammad Khairol Anwar Yusof berkata, Sivasangari mengalami kecederaan di muka dan tulang belakang (C1) namun berada dalam keadaan stabil.

Beliau bagaimanapun memaklumkan pihaknya masih belum dapat mengesahkan berapa lama atlet itu dijangka dirawat di hospital tersebut.

"Dia (Sivasangari) mengalami sedikit luka pada muka, beberapa kecederaan di bahagian belakang dan mengenai berapa lama dia perlu berada di hospital bergantung kepada pemerhatian kita, kami komited menjaga atlet negara dan bersama-samalah kita berdoa agar Sivasangari dapat sembuh dengan segera," katanya.

Apabila ditanya sama ada Sivasangari memerlukan pembedahan tambahan selepas ini, Dr Mohammad Khairol Anwar berkata, masih terlalu awal untuk mengetahui perkara itu, namun pasukan pakar akan memantau atlet berkenaan dari semasa ke semasa.

"Terlalu awal untuk kita membuat spekulasi sama ada dia boleh bermain atau tidak, sekarang kita perlu fokus kepada pemulihannya dahulu dan sudah tentu selepas itu dia menjalani sesi pemulihan dan latihan untuk mewakili negara kita,"

Menurut kenyataan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada Ahad, seorang wanita cedera di kepala dalam kemalangan melibatkan sebuah lori dan kereta di Lebuhraya Express Maju pada jam 3.46 pagi.

Komander Operasi JBPM dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya Pegawai Bomba Kanan II Rosman Ab Rahman berkata, pihaknya menerima laporan awal melibatkan kereta Proton Saga BLM terbakar 90 peratus selepas melanggar belakang lori muatan satu tan sebelum terbabas dan terbakar.

Sivasangari, yang merupakan pembawa Jalur Gemilang ke Sukan Komanwel bersama atlet powerlifting Bonnie Bunyau Gustin adalah antara harapan pingat emas buat Malaysia pada temasya sukan berkenaan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!