Ayuh bangkit Aaron-Wooi Yik!

Aaron dan Wooi Yik mempunyai misi penting pada Terbuka Malaysia dan Masters Malaysia tahun ini.
Aaron dan Wooi Yik mempunyai misi penting pada Terbuka Malaysia dan Masters Malaysia tahun ini.
A
A
A

BEREGU utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik perlu menjadikan Terbuka Malaysia 2022 dan Masters Malaysia 2022 sebagai medan terbaik mengembalikan maruah mereka yang tercalar ketika ini.

Sejak memenangi pingat gangsa pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 tahun lalu, beregu keenam dunia itu terus kempunan menyambar sebarang kejuaraan di pentas antarabangsa.

Dalam lima kejohanan Siri Jelajah Dunia BWF yang diharungi tahun ini, Aaron-Wooi Yik gagal mencipta sebarang kejayaan malah, mereka tumbang tujuh kali di peringkat separuh akhir sejak tahun lalu.

Justeru, bekas Pengarah Berprestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj menuntut Aaron-Wooi Yik segera bangkit memperbaiki prestasi mereka di tengah gelanggang.

“Ada sesuatu yang tidak kena dengan gandingan beregu ini (Aaron-Wooi Yik) kerana selepas memenangi pingat gangsa di Tokyo, prestasi mereka ternyata tidak memuaskan.

“Prestasi mereka nampak agak menurun sejak Sukan Olimpik tahun lalu.

Sepatutnya mereka mampu meraih beberapa lagi kejayaan selepas memenangi pingat Sukan Olimpik tetapi sebaliknya berlaku.

“Jadi Terbuka Malaysia dan Masters Malaysia ini sebagai platform untuk mereka mencipta kejayaan seterusnya menebus kembali maruah yang tercalar,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Sejak digandingkan bersama pada 2017, pencapaian terbaik Aaron-Wooi Yik setakat ini adalah lapan kali muncul naib juara termasuklah pada Kejohanan Badminton Asia (ABC) 2022 dan Seluruh England 2019.

Pada Terbuka Indonesia di Jakarta minggu lalu, Aaron-Wooi Yik terlepas tiket final apabila kecundang di tangan gandingan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi di peringkat separuh akhir.

Sebelum itu, langkah Aaron-Wooi Yik tersekat di peringkat suku akhir Masters Indonesia 2022 selepas mengalami kekalahan kepada satu lagi beregu China, Liang Weikeng dan Wang Chang.

Dalam pada itu, Selvaraj kurang bersetuju dengan cadangan beberapa pihak memisahkan Aaron-Wooi Yik sebagaimana yang dilakukan pada Piala Thomas 2022 di Bangkok, Thailand bulan lalu.

“Kita harus ingat Piala Thomas ini merupakan kejohanan berpasukan.

Jadi atas sebab strategi, jurulatih akan ‘memecahkan’ gandingan sedia ada untuk memburu mata kemenangan.

“Tetapi jika Aaron-Wooi Yik dipisahkan semata-mata kerana prestasi semasa mereka, saya rasa ia kurang sesuai.

Bagi dulu mereka peluang untuk membuktikan sesuatu pada Terbuka Malaysia dan Masters Malaysia,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!