Kewartawanan masa depan

Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar berucap pada Malam Wartawan Malaysia 2022 di sebuah hotel pada Jumaat lalu.
Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar berucap pada Malam Wartawan Malaysia 2022 di sebuah hotel pada Jumaat lalu.
A
A
A

SAYA menganggap satu penghormatan Malam Wartawan Malaysia 2022 menempatkan saya sebagai Tetamu Kehormat.

Saya diberitahu bahawa ini kali pertama dalam sejarah 41 tahun penganjuran program yang sangat bermakna ini, wartawan diberikan penghormatan sedemikian.

Dalam masa empat dekad, inilah kali ketiga orang bukan politik diberikan perhargaan, kali pertama adalah apabila Malaysian Press Institute (MPI) mengundang Tan Sri Azizan Zainal Abidin, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas pada tahun 1998 dan kali kedua, Prof Diraja Ungku Aziz diundang pada tahun 2002.

Saya juga mewakili kelompok 'senior' dalam profesion ini. Tambahan pula hanya empat dari 12 wartawan yang pernah dinobatkan sebagai Tokoh Wartawan Negara yang masih hidup.

Pada waktu yang sama, hanya segelintir wartawan senior yang masih tinggal.

Sebahagian daripada mereka masih punya blog atau kolum untuk menulis.

Saya maksudkan Datuk A Kadir Jasin, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Yong Soo Heong, Datuk Seri Wong Chun Wai, Datuk Dr Chamil Wariya dan beberapa orang lain.

Dalam ucapan beliau, Chamil menyebutkan tentang cabaran dunia media pada hari ini.

Sebetulnya kita juga banyak membincangkan hal hala tuju baharu media sewaktu forum khas anjuran MPI berjudul “Kewartawanan dan Revolusi Industri 4.0: Cabaran dan Peluang” sewaktu Hari Wartawan Nasional Malaysia (Hawana) di Melaka baru-baru ini.

Malah kita telah sepakat menzahirkan Resolusi Forum Media Nasional sempena Hawana 2022 selain “Deklarasi Melaka” yang kita bacakan di hadapan Perdana Menteri dan kepada umum.

Kita menyebutkan tentang perlunya kebebasan media dan ruang untuk para wartawan bekerja tanpa ragu dan takut.

Saya pernah diperingatkan oleh seorang wartawan veteran bahawa everyone hates a free press.

Saya pernah menulis di dalam kolum saya dalam The Star tentang ironi dalam dunia media hari ini. “...As we are unshackling ourselves from the yoke of media control, more and more leaders around the world are eying the press with scorn and distrust.”

Kita semua maklum masalah yang dihadapi oleh industri media hari ini.

Kita faham krisis semasa bagi syarikat media untuk terus bernafas, kita sedar model niaga atau business model yang harus difikirkan semula dan kita maklum perolehan syarikat gergasi teknologi (tech giants) yang menjejaskan pendapatan syarikat media.

Lebih penting lagi, kita sedar keperluan kita untuk melihat semula pendekatan bekerja serta pembangunan modal insan yang diperlukan untuk menghadapi keperluan masa ini dan masa depan.

Kita memang menerima hakikat bahawa kita sedang bersaing dengan media sosial yang sifatnya segera, real-time dan tanpa kawalan.

Kita juga mengakui dalam Resolusi Hawana bahawa media arus perdana harus hidup seiring (co-exist) dengan media sosial.

Namun demikian kita juga menyedari tuntutan ke atas kebenaran atau truth dalam konteks media arus perdana tidak boleh dikompromi.

Ini bukan masanya untuk kita mengulangi kegusaran kita tentang hal itu.

Kita mahu melihat ke hadapan, mudah-mudahan dengan penuh keyakinan.

Dalam konteks revolusi Internet orang mulai bercakap tentang “kerajaan masa hadapan” (the government of the future), juga pentadbiran awam masa hadapan (the future of public service).

Mahu tidak mahu, kita juga perlu bercakap tentang media masa hadapan (media of the future).

Bagi saya, perbincangan tentang media masa hadapan ini sepatutnya menjadi agenda utama kita.

Dan saya juga percaya the future is now.

Orang mulai menggunakan istilah media legasi (media legacy) untuk menggambarkan media arus perdana atau old media (media lama) yang wujud sebelum Era Informasi.

Apakah tepat istilah itu? Saya berasa ada unsur sinisme dalam label baharu itu.

Bagi saya, yang lebih penting adalah kita sendiri.

Kita harus mencipta diri kita semula (reinvent ourselves) dalam senario hari ini untuk kita terus relevan.

Label tidak penting. Kita sedar eko-sistem baharu yang mendominasi.

Selagi para wartawan berpegang pada prinsip etika dan prinsip kewartawanan yang sebenar, masih ada esok untuk kita, untuk profesion kita dan dunia niaga yang berteraskan media.

Pada 17 Jun 1972, berlaku peristiwa pecah masuk (break-in) di Ibu Pejabat Democratic National Committee di Washington DC.

Bulan ini genaplah 50 tahun peristiwa itu.

Dan kita juga tahu bahawa peristiwa yang dikenal sebagai “Watergate” itu menjadi titik tolak penting dunia kewartawanan.

Penyelidikan kewartawanan atau investigative reporting oleh dua orang wartawan akhbar The Washington Post itu telah menulis semula hukum hakam kewartawanan.

Laporan mereka besar sekali impaknya pada bukan sahaja dunia kewartawanan tetapi juga dunia politik.

Untuk kali pertama dalam sejarah Amerika Syarikat, Presidennya Richard M Nixon meletakkan jawatan pada 9 Ogos 1974 apabila terbongkar bahawa pecah masuk itu mendapat restu pegawai paling tinggi di sekelilingnya.

Walaupun itu bukan kali pertama skandal yang dibongkarkan oleh media, tetapi peristiwa itu memacakkan penanda aras baharu dalam dunia kewartawanan.

Sejak itu ada pandangan suka-benci selain kewaspadaan apabila orang politik melihat wartawan.

Watergate penting oleh sebab peristiwa itu menunjukkan peranan sebenar yang boleh dimainkan oleh media.

Media yang bebas adalah tunjang demokrasi, demokrasi tidak akan subur dan matang tanpa media yang bertanggungjawab.

Wartawan menjadi mata dan hati rakyat dan memainkan peranan sebagai conscience sebuah negara bangsa.

Kadang-kala para wartawan sendiri lupa peranan yang boleh kita mainkan, beban tanggungjawab yang perlu kita galas dan harapan rakyat kepada kita.

Kadang-kala juga kita lupa bahawa kita boleh membuat perubahan dalam menentukan hala tuju negara ini.

Maka itu kita harus memainkan peranan seperti yang dikehendaki oleh profesion kita, tidak lebih dan tidak kurang daripada itu.

Memang tidak dapat dinafikan ada masanya kita turut menjadi complicit atau bersubahat dalam membiarkan salah laku, skandal dan rasuah berleluasa.

Ada kalanya kita tidak berani atau memilih untuk tidak mahu menanyakan soalan yang betul dan menafikan “bendera merah” atau red flags yang nyata di hadapan kita.

Kita gagal menyatakan kegusaran kita apabila kita melihat sesuatu berpotensi menjadi masalah besar atau skandal.

Saya percaya skandal seperti 1MDB tidak akan berskala sebesar itu sekiranya kita menanyakan soalan yang betul.

Marilah sama-sama kita mengingatkan diri kita bahawa orang politik akan datang dan pergi.

Kita kekal di sini. Banyak kali saya mengingatkan bahawa kita tidak diukur daripada “kesetiaan” kita tetapi dari profesionalisme kita.

Kerajaan boleh berubah, begitu juga slogan dan jingoisme.

Tetapi kita akan terus diukur dari peranan yang kita mainkan dalam negara yang semakin kompleks ini.

Sesetia manakah kita dengan kerajaan yang bertukar banyak kali dalam masa yang pendek?

Dan kita tahu kestabilan politik adalah impian dalam situasi politik negara kita hari ini.

Kita tahu sekali air bah, sekali pantai berubah.

Dalam konteks hari ini, pelanggan kita semakin canggih dan cerdik.

Mereka ada banyak pilihan. Dan mereka mudah membuat penilaian mana satu pilihan mereka.

Bukanlah pilihan mereka bertolak daripada pertimbangan hanya jauhari yang mengenal manikam.

Kebenaran tidak penting lagi dalam dunia yang mengukur kepantasan sebagai kecemerlangan baharu.

Mereka akan menghukum kita sekiranya kita dilihat hanya menjadi corong pemerintah atau paparan kita tidak lebih daripada newsletter elit pemerintah. Era wayang pacak sudah berakhir.

Saya tahu, tidak mudah bekerja sebagai wartawan dalam negara yang banyak undang-undang dan akta yang mengekang kebebasan bersuara dan kebebasan media.

Malah dalam resolusi kita sewaktu di Melaka kita menyatakan pendirian tegas kita untuk menuntut kerajaan menghapuskan mana-mana akta dan undang-undang yang berkaitan media yang dianggap lapuk atau archaic dan tidak lagi sesuai dengan keperluan semasa.

Kita tahu tidak mudah bagi untuk mana-mana kerajaan berbuat demikian.

Reformasi nampaknya hanya di bibir dan hilang dalam proses transisi.

Lagipun kita diperingatkan bahawa manifesto tidak terukir di batu.

Dalam eko-sistem media yang baharu, dengan tuntutan luar biasa untuk kita menjadi benar-benar free and fair maka kitalah yang harus memula langkah.

Kita juga jangan lupa Kod Etika Wartawan yang kita sepakati pada tahun 1989 lagi.

Oleh sebab itu saya percaya perlunya sebuah Persatuan Wartawan Malaysia, malah itu juga sebahagian daripada Resolusi Hawana 2022.

Kita berikrar untuk “mendayausahakan persatuan yang dapat menggabungkan semua para wartawan agar menjadi suara padu dan lantang, demi memperkukuh kesetiakawanan dan memacu matlamat yang sama, demi memberikan digniti dan uniti pada profesion kewartawanan.”

Kitalah yang boleh menjaga sesama kita.

Apsirasi kita. Komitmen kita. Nama baik kita. Kebajikan kita. Kita jaga kita.

Kita tidak boleh mengharapkan orang lain menjaga kita.

Dunia politik ada kalanya tidak berlaku adil pada wartawan.

The Malaysian experience is one with a chequered past.

Kita harus ingat bahawa salah seorang tahanan ISA paling lama di negara ini adalah seorang wartawan, Said Zahari.

Dan banyak wartawan telah ditahan di bawah akta itu.

Banyak pula pimpinan wartawan yang hilang pekerjaan.

Betullah agaknya kata orang, good soldiers don’t die, they fade away, but good editors don’t fade away, they got fired.

Di mana-manapun, wartawan masih menerima tekanan, malah dalam beberapa kes dikejami dan dibunuh.

Wartawan terkorban membawa berita dan laporan dari pentas konflik.

Tahun lalu sahaja, 46 orang wartawan telah terbunuh di seluruh dunia.

Pada tahun 2018 jumlahnya 87 orang. Apakah wartawan berasa serik? Tidak! Malah krisis menyemarakkan kita, memberikan nyawa baharu bagi kita.

Maka itu kita harus sepakat dalam coalition persefahaman yang sebenar.

Kita harus bersuara seperti juga teman-teman kita di seluruh dunia untuk menyatakan pendirian dan membuat teguran walaupun sepahit mana.

Kita harus sama-sama prihatin dengan tindakan ke atas wartawan di mana-mana sahaja.

Pada waktu yang sama, kita harus menyokong teman-teman dalam persaudaraan wartawan tanpa sempadan.

* Tulisan ini pada asalnya adalah ucapan Tan Sri Johan Jaaffar selaku Tetamu Kehormat pada Malam Wartawan Malaysia 2022 yang berlangsung di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur, Jumaat 24 Jun 2022.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!