Murray gembira mara ke pusingan kedua Wimbledon
BEKAS pemain nombor satu dunia, Andy Murray gembira apabila berjaya mara ke pusingan kedua Kejohanan Tenis Wimbledon 2022 setelah menewaskan pemain Australia, James Duckworth pada Selasa.
Menurut Murray, kemenangan itu nyata melegakannya setelah berhempas pulas untuk menewaskan Duckworth pada pusingan pertama.
“Saya gembira kerana berjaya melepasi halangan pertama di kejohanan ini dan pasti cabaran lebih getir menanti saya di pusingan kedua nanti.
“Ya, saya akui, saya menerima tentangan hebat daripada Duckworth sebelum saya berjaya bangkit pada tiga set terakhir bagi mengesahkan kemenangan.
“Bagaimanapun, saya masih perlu bekerja lebih keras jika tidak mahu insiden serupa berulang pada masa hadapan,” katanya.
Untuk rekod, Murray menewaskan Duckworth 4-6, 6-3, 6-2, 6-4 pada pusingan pertama Kejohanan Tenis Wimbledon 2022 pada Selasa.
Kemenangan itu menyaksikan Murray bakal berdepan pemain ranking ke-24 dunia dari Amerika Syarikat (AS) John Isner di pusingan kedua.
Sementara itu, Murray menegaskan dia begitu teruja apabila kembali beraksi di hadapan ribuan penonton.
Malah katanya, situasi berkenaan nyata menakjubkan dan membuatkannya berazam untuk terus mencatatkan kemenangan selepas ini.
“Ia satu perasaan yang menakjubkan untuk kembali beraksi di hadapan ribuan penonton seperti ini, saya sungguh teruja.
“Kini saya hanya mahu menikmati setiap detik di kejohanan ini dan sudah semestinya saya akan cuba mencatatkan lebih banyak kemenangan selepas ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!