Dagangan Bursa Malaysia rendah sesi urus niaga tengah hari
DAGANGAN Bursa Malaysia kekal rendah pada sesi dagangan tengah hari ini berikutan kemunculan kegiatan pengambilan untung bagi kebanyakan kaunter berkaitan indeks, diterajui oleh kaunter teknologi dan penjagaan kesihatan, kata penganalisis.
Pada jam 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.17 peratus atau 2.52 mata kepada 1,435.60 daripada 1,438.12 pada penutupan urus niaga Isnin.
Indeks penanda aras utama itu dibuka pada 1,438.98 pagi ini, naik 0.86 mata dan berlegar antara 1,431.35 dan 1,439.61 di sepanjang sesi dagangan pagi.
Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan negatif, menyaksikan kaunter rugi mendahului kaunter untung 490 berbalas 262 manakala 343 kaunter tidak berubah, 1,247 tidak diniagakan dan 79 yang lain digantung.
Jumlah dagangan adalah sebanyak 1.16 bilion unit bernilai RM611.30 juta.
Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikan berkata pihaknya agak berhati-hati mengenai prospek pasaran memandangkan aktiviti jualan asing terus berkurangan.
Jualan bersih selama lima hari berjumlah RM76.9 juta minggu lepas berbanding RM365.6 juta pada minggu sebelumnya.
"Bagaimanapun, hala tuju pasaran masih tidak jelas kerana prestasi semalaman Wall Street susut sedikit.
"Kami berpendapat sektor tenaga mungkin mampu menarik pelabur, disokong oleh pengukuhan harga minyak mentah serta potensi sekatan baharu terhadap eksport minyak Rusia," katanya.
Sementara itu, saham wajaran tinggi Bursa - Hong Leong Financial turun 16 sen kepada RM18.36 manakala Top Glove dan Petronas Chemicals masing-masing kerugian dua sen kepada RM1.02 dan RM9.18.
Maybank, Public Bank dan IHH juga turun satu sen setiap satu kepada RM8.57, RM4.43 dan RM6.47.
Bagi saham aktif, Sapura Energy menambah satu sen menjadi 5.5 sen, Green Packet turun setengah sen kepada enam sen, Yong Tai meningkat setengah sen kepada sembilan sen dan Reach Energy susut dua sen menjadi enam sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas Syariah menguncup 40.39 mata kepada 10,415.15, FBM 70 lemah 65.91 mata menjadi 12,458.64, Indeks FBM Emas lega 28.27 mata kepada 10,258.05, FBM ACE pula lemah 68.10 mata kepada 4,763.55 dan Indeks FBMT 100 jatuh 25.95 mata kepada 9,995.08.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 35.03 mata kepada 15,980.10, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.38 mata menjadi 182.50, manakala Indeks Perladangan meningkat 11.34 mata kepada 6,934.20. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!