redONE, Sinar Harian meterai MoU program kolaborasi digital
PENGENDALI Rangkaian MayaMudah Alih (MVNO) terbesar di Asia, redONE Network Sdn Bhd (redONE) menjalinkan kerjasama dengan akhbar Sinar Harian menerusi program kolaborasi digitalnya.
Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif redONE, Farid Yunus di Ibu Pejabat redONE di sini pada Selasa.
Muhammad Nasir berkata, kerjasama yang dimeterai itu membuktikan Sinar Harian mempunyai pembaca terdiri daripada pelbagai peringkat umur sesuai dengan kehendak pasaran redONE.
"Sinar Harian adalah akhbar yang dekat dengan masyarakat menerusi program RasuahBusters, Quran Hour serta Wacana Sinar Harian," katanya.
Turut hadir Pengurus Besar Jualan Iklan Sinar Harian, Airol Fadley Limin dan Ketua Pegawai Jualan redONE, Ben Teh.
Sementara itu Farid berkata, kerjasama selama 18 bulan itu akan menyaksikan Sinar Harian mempromosikan perkhidmatan redONE pada platform dalam taliannya yang mempunyai lebih 6.6 juta pelawat bulanan unik.
Menurutnya, redONE akan menyediakan aset pemasaran digital kepada Sinar Harian untuk pendaftaran talian postpaid yang berjaya.
Farid berkata, program perusahaan digital itu merupakan inisiatif berterusan oleh redONE untuk mendaftar pelanggan telco baharu melalui kolaborasi dengan syarikat-syarikat media di seluruh Malaysia.
"Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Sinar Harian kerana ia adalah syarikat media yang terkemuka.
"Saya percaya bahawa perniagaan secara digital ini bakal memberi manfaat besar kepada kedua-dua organisasi ini," katanya.
Jelasnya lagi, di bawah program Perusahaan Digital itu, Sinar Harian akan menerima pelbagai aliran pendapatan daripada redONE.
Ia termasuk insentif pendahuluan satu-kali, insentif port-masuk MNP dan komisen berulang untuk setiap pelanggan redONE yang didaftarkan di bawah program khas tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!