Kos sara hidup: Pas syor bincang dengan ketua parti politik
SHAH ALAM - Pas mencadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya mengadakan perbincangan dengan semua ketua parti politik kerajaan dan pembangkang bagi mencari solusi terbaik menangani peningkatan kos sara hidup dan kenaikan harga barang.
Ketua Penerangan Pas, Senator Khairil Nizam Khirudin berkata, Pas menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa yang menyeru semua pihak untuk mengamalkan demokrasi bermusyawarah untuk mencari penyelesaian.
Menurutnya, sidang Parlimen khas juga perlu bagi membincangkan isu tersebut secara mikro dengan mendapatkan pandangan dan cadangan penyelesaian daripada ahli Parlimen yang lebih dekat dengan rakyat di kawasan mereka.
Selain itu, Pas mengesyorkan kerajaan mengkreditkan secara bersasar bantuan tunai bulanan melalui kad pengenalan atau e-dompet kepada golongan B40 dan sebahagian M40 untuk membeli barang keperluan harian.
“Langkah ini adalah selaras dengan prinsip Islam. Isu kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang semakin meningkat hingga menekan rakyat pada ketika ini perlu diatasi dengan segera.
“Krisis ini dijangka bertambah parah sekiranya penyelesaian yang tuntas dan holistik tidak diambil oleh kerajaan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ujar Khairil Nizam, Pas yakin dengan kebijaksanaan dan kerjasama semua pihak, isu tersebut dapat ditangani dan diselesaikan dengan sebaiknya.
Tambahnya, Pas menyeru semua pemimpin politik untuk bersama menyumbangkan idea dan tenaga dalam usaha membantu kerajaan menyelesaikan krisis berkenaan.
“Jadikan kesejahteraan rakyat keutamaan dalam masa sukar ini dan lupakan perbalahan yang merugikan negara,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!