Komanwel: Sasaran baharu pingat emas dibincang masa terdekat
SASARANtujuh pingat emas negara pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 berubah dengan ketiadaan penyertaan dua atlet sandaran, Lee Zii Jia dan S Sivasangari.
Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, sasaran yang ditetapkan sebelum ini adalah berpandukan unjuran seperti diraih kontinjen negara pada edisi di Gold Coast 2018.
Bagaimanapun menurutnya, dengan perkembangan terkini, penarikan diri perseorangan lelaki badminton negara dan ratu skuasy negara yang tidak dapat beraksi disebabkan kemalangan, sasaran itu perlu disemak semula.
"Dengan perkembangan baru ini, kita akan adakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk kita bincangkan semula dari segi sasaran.
"Kita perlu berpijak di bumi yang nyata dengan kehilangan prospek medal kerana tujuh emas yang kita tetapkan itu adalah berpandukan unjuran seperti diraih kontinjen negara pada edisi di Gold Coast 2018.
"Sebenarnya kita menaruh harapan kepada semua yang berjaya melayakkan diri ke Komanwel untuk menyumbangkan pingat, cumanya kita lihat dari segi ranking sebab itulah kita buat unjuran berapa yang kita boleh dapat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen ke-25 Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ipoh di sini pada Selasa.
Pada temasya di Gold Coast 2018, Malaysia meraih tujuh emas menerusi sukan angkat, terjun, boling padang, gimnastik dan badminton.
Lima perak turut berjaya diraih masing-masing menerusi sukan badminton, gimnastik dan angkat berat.
Kontinjen negara juga berjaya meraih 12 gangsa menerusi sukan angkat berat, skuasy, menembak, terjun, gimnastik, olahraga, ping pong dan badminton.
Dalam perkembangan sama, Shahrul Zaman tidak menolak kemungkinan atlet terjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang pada temasya sukan itu, susulan kecederaan dialami Sivasangari.
Begitupun katanya, perkara itu akan dibawa dan diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang dijadualkan 15 Julai depan.
"Ada kemungkinan untuk Nur Dhabitah sebagai pengganti, tetapi perkara ini akan diputuskan dalam mesyuarat lembaga pengarah nanti.
"Sudah tentulah penggantinya atlet wanita kerana yang seorang lagi atlet lelaki sudah pun dipilih," katanya.
Beliau berkata, mesyuarat Lembaga Pengarah MOM yang dijadualkan 15 Julai depan mungkin akan dipercepatkan, khusus bagi membincangkan perkembangan terkini atlet negara.
"Kita dah setkan mesyuarat pada 15 Julai iaitu kira-kira seminggu sebelum kontinjen bertolak, tetapi dengan perkembangan terkini penarikan diri dan kemalangan yang berlaku, ianya akan dibuat lebih awal," katanya.
Sivasangari yang merupakan pembawa Jalur Gemilang ke Sukan Komanwel bersama atlet powerlifting Bonnie Bunyau Gustin, dilaporkan mengalami kecederaan kepala dalam kemalangan melibatkan sebuah lori dan kereta di Lebuhraya Express Maju pada Ahad.
Nur Dhabitah sebelum ini dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang pada temasya Sukan SEA Hanoi di Vietnam yang berlangsung pada 12 hingga 23 Mei lepas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!