Terminal baharu dijangka terima 300 penumpang sehari

K Raven (kiri) dan Suhairi (kanan) melihat lokasi pelancongan di Johor menerusi paparan skrin di Bangunan Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Johor (Jotic) pada Selasa.
K Raven (kiri) dan Suhairi (kanan) melihat lokasi pelancongan di Johor menerusi paparan skrin di Bangunan Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Johor (Jotic) pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Terminal Feri Desaru Coast yang akan beroperasi pada bulan depan dijangka bakal menerima lebih 300 penumpang sehari dari Singapura.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K Raven Kumar berkata, perkhidmatan feri terbabit akan memudahkan pergerakan pelancong dari Singapura ke Johor.

Ini kerana, mereka tidak perlu bersesak di laluan pintu darat antara Malaysia dan Singapura melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).

"Bermula Julai, Terminal Feri Desaru Coast akan mula beroperasi dengan 300 penumpang sehari dari Singapura.

"Ia adalah permulaan dan kerajaan negeri akan melihat pelbagai aspek, sekiranya perlu penambahan perkara berkenaan akan dibincangkan.

"Penggunaan feri sebagai salah satu pengangkutan terpenting dari Singapura ke Johor dapat memudahkan pergerakan pelancong," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Festival Majestic Johor di Bangunan Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Johor (Jotic) di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Tourism Johor, Suhairi Hashim.

Terminal Feri Desaru Coast yang terletak kira-kira enam kilometer dari Bandar Penawar merupakan pintu masuk baharu antarabangsa Malaysia ke-16.

Terminal feri yang dilengkapi Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) serta kemudahan maritim akan meningkatkan kesalinghubungan destinasi antarabangsa dari Singapura dan Batam serta Bintan Kepulauan Riau Indonesia.

Pada 31 Mac lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan merasmikan Terminal Feri Desaru Coast.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!