Canberra hadapi gelombang baharu Covid-19

Pihak berkuasa kesihatan Canberra memberi amaran mengenai gelombang baharu jangkitan Covid-19 di wilayah itu. - Foto 123RF
Pihak berkuasa kesihatan Canberra memberi amaran mengenai gelombang baharu jangkitan Covid-19 di wilayah itu. - Foto 123RF
A
A
A

CANBERRA - Pihak berkuasa kesihatan Canberra memberi amaran mengenai gelombang baharu jangkitan Covid-19 di wilayah itu, lapor Xinhua.

Menteri Kesihatan Ibu Negara Australia (ACT), Rachel Stephen-Smith mendedahkan bahawa wilayah itu sedang berdepan ancaman gelombang jangkitan Covid-19.

"Kami menyaksikan peningkatan bilangan kes jangkitan, dan dijangka berpotensi mencetuskan gelombang Covid-19 pada musim sejuk bermula Julai berlanjutan hingga Ogos," katanya dipetik Canberra Times pada Selasa.

"Kami menyedari perkara itu dan kami terus memantau bilangan kes untuk melihat sama ada trajektori itu akan kekal."

Kejadian berlaku selepas ACT merekodkan kadar kemasukan baharu ke hospital akibat Covid-19.

Seramai 121 orang yang dijangkiti virus Covid-19 kini menerima rawatan di hospital ACT, merupakan angka tertinggi sejak permulaan wabak itu, menurut kemas kini terkini pada Selasa.

Jangkitan Covid-19 di wad kanser di Hospital Canberra telah menyumbang kepada peningkatan itu.

Pengarah Wad klinikal, Paul Craft berkata, pihak berkuasa masih menyiasat bagaimana Covid-19 telah merebak di wad.

"Agak sukar mengesan sejauh mana penularan virus itu, kami masih mengusahakannya," katanya kepada Radio Perbadanan Penyiaran Australia (ABC).

"Ia mungkin mengambil masa yang lama sebelum kita dapat pastikan bagaimana ia merebak"

Australia merekodkan 8,023,259 jangkitan Covid-19, termasuk 9,704 kematian, dan 226,653 kes aktif sehingga Isnin, menurut Jabatan Kesihatan Persekutuan.

Sementara itu, 3,133 kes masih dirawat di hospital termasuk 111 ditempatkan di unit rawatan rapi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!