Harap harga siling ayam tidak menekan penternak, pengguna
YAN - Harga siling baharu ayam dan subsidi yang bakal ditetapkan kerajaan diharap tidak memberi tekanan kepada semua pihak khususnya penternak dan pengguna.
Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn Bhd (Ayam Bismi), Mazlina Kamarudin berkata, beberapa faktor perlu diambil kira sebelum ia diputuskan menerusi pembentangan Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara dalam Mesyuarat Kabinet pada Rabu.
Menurutnya, penetapan harga siling ayam yang baharu diharap tidak membebankan pengguna khususnya golongan B40 sekali gus mengambil kira situasi yang dihadapi penternak.
"Kita lebih suka harga yang ditetapkan mengikut kemampuan rakyat, kalau harga ayam mahal orang akan mempunyai banyak pilihan lain.
"Kalau boleh kita nak ayam menjadi sumber protein utama rakyat Malaysia sampai bila-bila," katanya.
Jelasnya, sebagai penternak, pihaknya turut mengambil kira dan memahami keadaan rakyat yang berdepan peningkatan kos sara hidup.
"Pengguna dalam keadaan tertekan dari segi perbelanjaan dan kos sara hidup yang tinggi namun kerajaan juga perlu mengambil kira kadar subsidi kepada penternak berdasarkan komitmen kos perternakan, harga dedak meningkat dan pelaksanaan gaji minimum yang perlu dipatuhi.
"Diharap harga siling ayam tersebut perlu munasabah dan tidak menekan mana-mana pihak.
"Penternak bukan memikirkan keuntungan semata-mata, namun pada masa sama perlu memastikan perniagaan dalam industri ini terus kekal bertahan," ujarnya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara akan membentangkan cadangan penetapan harga siling ayam yang baharu serta kadar subsidi kepada penternak dalam Mesyuarat Kabinet pada Rabu.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, penetapan harga baharu itu akan diumumkan sebaik selesai mesyuarat tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!