16,562 aduan aplikasi WFW diambil tindakan: KSM
JITRA - Sebanyak 17,091 aduan menerusi aplikasi 'Working For Workers' (WFW) diterima oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan 16,562 daripada jumlah tersebut sudah diambil tindakan setakat Isnin manakala selebihnya menunggu proses siasatan selesai dan pengesahan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, aduan paling tinggi yang diterima adalah berhubung gaji yang tidak dibayar serta pembayaran lewat iaitu sebanyak 34 peratus atau 5,928 kes.
Menurut Awang, sebanyak 18 peratus atau 2,974 kes pula adalah aduan majikan tidak membenarkan bekerja dari rumah terutama sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Bila dapat aduan ini, kami akan terima, membuat semakan dan dipantau oleh pegawai-pegawai. Kalau betul aduan yang dibuat itu berlaku, kita akan menemui majikan yang terlibat tanpa mendedahkan nama pengadu. Ini satu kaedah untuk bantu pada pasca Covid-19 ini," katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sijil pada Majlis Konvokesyen Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) Kali ke-25 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Jitra.
Pada majlis itu, seramai 802 graduan ILP Jitra dan ILP Kangar, Perlis menerima sijil dan masing-masing terdiri daripada lulusan bidang Teknologi Penyejukbekuan dan Penyaman Udara, Automotif, Kenderaan Perdagangan Berat, Plastik, Elektrik, Kimpalan dan Penyenggaraan Mekanikal, Mekatronik, Fabrikasi Logam serta Pembuatan (pemesinan).
Tambah Awang, KSM menerima aduan sebanyak 10 peratus atau 1,651 kes berhubung potongan upah yang tidak mengikut undang-undang.
Dalam pada itu, sebanyak lapan peratus kes atau 1,390 aduan membabitkan pekerja dibuang kerja tanpa notis dan lapan peratus kes lagi atau 1,369 kes adalah tiada pembayaran kerja lebih masa dan faedah pemberhentian.
"Selepas buka kertas siasatan, ada yang kita kompaun, ada yang kita panggil majikan supaya membayar balik berdasarkan aduan diterima daripada pekerja.
"Jika tidak ada kompromi antara majikan, kita akan ambil tindakan berdasarkan akta-akta di bawah sistem perundangan perburuhan, khususnya Akta Pekerjaan 1955," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!