Ahli Amanah bertanding Bebas, cuba sabotaj parti: Taufek

Mohamad Taufek Abd Ghani
Mohamad Taufek Abd Ghani
A
A
A

SEREMBAN - Tindakan Ahli Amanah yang bertanding sebagai calon Bebas pada PRK Rantau ini, dianggap sebagai cubaan sabotaj parti.

Timbalan Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abd Ghani berkata keputusan Mohd Nor Yasin,67, itu adalah bersifat peribadi, tidak mewakili Parti Amanah atau mana-mana parti komponen dalam PH.

Katanya, Mohd Nor merupakan ahli baru dalam Amanah selepas beliau sendiri, menyerahkan sijil keahlian kepadanya pada awal Mac lalu semasa majlis di Kampung Sega Hilir, Rantau.

"Dia (Mohd Nor) baru sahaja sebulan menjadi ahli Amanah, dan kita juga tidak sangka dia boleh mengambil keputusan untuk bertanding sebagai calon Bebas pada PRK ini.

"Kita masih lagi menyiasat apa sebenarnya yang ingin dia lakukan, memandangkan dia ahli Amanah sepatutnya perlu berusaha dan memberi kerjasama untuk memenangkan calon PH, bukan sebaliknya.

"Tindakan yang dibuat itu melambangkan dia bukanlah seorang ahli yang ingin sama-sama mendokong perjungan parti, sebaliknya cuba melawan PH dan lebih buruk lagi cuba sabotaj Amanah pada PRK ini,"katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, perkara tersebut akan dirujuk ke Jawatankuasa Displin parti di peringkat pusat, untuk tindakan selanjutnya.

Mohamad Taufek yang juga Exco Belia dan Sukan Negeri berkata, beliau sendiri terkejut apabila melihat Mohd Nor berada di pentas dan diumumkan sebagai calon bebas.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebaik sahaja selesai proses penamaan calon, Mohd Nor yang juga bekas ahli Pas itu, dilihat seakan melarikan diri dan tidak mahu berjumpa dengan sesiapa.

"Apa pun kita tetap akan mencari beliau bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut terhadap tindakan yang dilakukan itu, sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Secara dasarnya dia bakal berdepan dengan tindakan displin sehingga boleh menyebabkan keahliannya digugurkan serta merta, kerana bertindak melawan parti,"katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!