Juruterbang 53 tahun masih aktif lakukan aksi aerobatik udara
LANGKAWI - Bagi sesetengah orang, mencapai umur 50-an merupakan satu peringkat umur yang penting, terutamanya dalam merancang masa hadapan ketika waktu persaraan semakin hampir.
Namun, berbeza bagi Datuk Halim Othman, 53, yang pada hari-hari biasa, masih dilihat berada beribu kaki dari paras bumi melakukan aksi aerobatik yang mendebarkan.
Halim, ketua pasukan aerobatik kebangsaan, Krisakti berkata minatnya dalam aerobatik yang bermula pada tahun 1998 merupakan antara sebab utama beliau masih aktif sehingga sekarang.
"Perasaan berada di udara dan melakukan persembahan yang baik, terutamanya apabila kita berjaya melakukan aksi aerobatik yang dikehendaki.
“Apabila kita semakin tua, skill penerbangan kita semakin baik, tetapi kita juga perlu menjaga kesihatan kita. Insya- ALLAH jika kesihatan saya masih lagi baik, saya akan terus terbang untuk tahun-tahun yang akan datang,” katanya di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) di sini hari ini.
Krisakti yang ditubuhkan pada 2011 juga mengambil bahagian dalam persembahan udara semasa LIMA’19.
Mengulas mengenai juruterbang pelapis untuk aerobatik, Halim berkata, Malaysia mempunyai ramai bakat dalam penerbangan, namun aerobatik merupakan satu aktiviti yang mahal dan tidak dipromosikan seperti di Eropah.
“Pada masa ini Krisakti mempunyai 15 juruterbang yang berkelayakan dan kita juga sedang mencari juruterbang untuk menjadi pelatih aerobatik masa hadapan. Kebanyakan juruterbang kami datang dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Bakat yang ada ramai, tetapi kita perlu lebih promosi dan dana untuk mempromosikan aerobatik dengan lebih meluas,” katanya.
LIMA’19 yang berlangsung lima hari di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri dan Resorts Worlds Langkawi (RWL) berakhir hari ini.
Sejumlah 406 syarikat dengan 206 tempatan, dan 200 asing - yang kebanyakannya berkaitan industri pertahanan mengambil bahagian dalam LIMA’19.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!