Import lembu hidup: Malaysia-Thailand capai persetujuan

Malaysia dan Thailand mencapai persetujuan bersama bagi memudah cara pengimportan lembu hidup untuk memenuhi keperluan bekalan penyembelihan ibadah korban di negara ini. - Foto 123RF
Malaysia dan Thailand mencapai persetujuan bersama bagi memudah cara pengimportan lembu hidup untuk memenuhi keperluan bekalan penyembelihan ibadah korban di negara ini. - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia dan Thailand mencapai persetujuan bersama bagi memudah cara pengimportan lembu hidup untuk memenuhi keperluan bekalan penyembelihan ibadah korban di negara ini.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menerusi kenyataannya pada Selasa memaklumkan, langkah itu dicapai dengan menambah baik prosedur teknikal pengimportan.

"Ini termasuk tempoh kuarantin di Malaysia disingkatkan kepada tiga hari," katanya.

Menurut jabatan itu, pengimport dan penternak dinasihatkan agar mematuhi syarat kesihatan veterinar yang dipersetujui berasaskan prosedur teknikal yang dimudah cara tersebut.

"Semua pihak terlibat dinasihatkan mendapatkan surat pemindahan ternakan antara negeri untuk tujuan pemantauan serta permit penyembelihan luar untuk tujuan penyembelihan qurban di luar rumah sembelih," katanya.

Ujar JPV, dokumen berkenaan boleh dipohon dari pejabat perkhidmatan veterinar negeri atau daerah terdekat.

"Tindakan ini penting bagi membolehkan pegawai perkhidmatan veterinar menjalankan pemantauan dan pemeriksaan dalam memastikan ternakan qurban bebas jangkitan penyakit dan karkas atau daging yang diedarkan adalah selamat untuk dimakan," katanya.

Sebelum ini, JPV menggantung import lembu dan kerbau dari Thailand berkuat kuasa 7 Jun 2021 selepas menilai risiko penularan penyakit Lumpy Skin Disease (LSD) yang dilaporkan di lebih 41 wilayah di Thailand.

Pada tahun lalu, Malaysia mengimport sebanyak 12,405 ekor lembu dari Thailand sempena sambutan Aidiladha berbanding 12,553 ekor pada tahun 2020.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!