Pusat Komuniti Kebun-Kebun Bangsar langgar syarat LMS

Notis pengosongan tapak Pusat Komuniti Kebun-Kebun Bangsar yang tular di media sosial pada Selasa.
Notis pengosongan tapak Pusat Komuniti Kebun-Kebun Bangsar yang tular di media sosial pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) mengesahkan penularan notis berhubung arahan supaya Pusat Komuniti Kebun-Kebun Bangsar dikosongkan.

Pengarahnya, Datuk Muhammad Yasir Yahya berkata, tindakan penguatkuasaan itu dilakukan berikutan pihaknya telah mengenal pasti berlaku pelanggaran syarat lesen pendudukan sementara (LMS) bagi maksud nurseri.

Menurutnya, syarat-syarat bagi maksud nurseri yang diluluskan termasuklah jenis tanaman dan juga tiada struktur kekal dibenarkan di bawah talian rentis seperti mana ulasan teknikal daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Siasatan mendapati, kebun tersebut memelihara pelbagai binatang ternakan seperti ayam, itik dan biri-biri.

"Ini telah menimbulkan isu-isu lain seperti pencemaran bau, lalat serta gangguan bunyi yang menjadi punca utama tindakan penguatkuasaan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, PPTGWP sentiasa menyokong usaha-usaha ke arah kebun bandar selaras dengan hasrat kerajaan dan kementerian, namun menegaskan syarat-syarat LMS perlu dipatuhi bagi kebaikan semua pihak.

Pada Selasa, tular di media sosial notis pemberitahuan pengosongan tapak di bawah Rintis TNB di Lorong Bukit Pantai 4, Bangsar oleh PPTGWP.

Notis bertarikh 23 Jun 2022, memerintahkan kesemua struktur dibina di kawasan itu dirobohkan dan penguatkuasaan di lokasi tapak itu akan dijalankan pada bila-bila masa.

Sekiranya ingkar, pemilik struktur berdepan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun di bawah Seksyen 425 (1) Kanun Tanah Negara kerana menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!