FAM silap senaraikan De Paula, Liridon: TMJ
TINDAKAN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyenaraikan dua pemain naturalisasi, Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi pada pusingan ketiga aksi Kelayakan Piala Asia 2023 baru-baru ini disifatkan sebagai satu kesilapan.
Perkara itu dinyatakan pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang turut menyifatkan kedua-dua pemain itu tidak sepatutnya mendapat panggilan mewakili skuad Harimau Malaya bagi mengharungi aksi kelayakan berkenaan kerana kedua-duanya jarang beraksi bersama kelab masing-masing.
“Saya pun tidak faham mengapa jurulatih (Kim Pan-gon) ambil Guilherme de Paula dan apa sebab dia terpilih.
Saya dekat sini (di JDT) pun tidak menggunakan dia (De Paula).
“Bagi saya, beliau (Kim Pan-gon) perlu ada sikap lebih tanggungjawab dan bukan setakat ambil sesiapa sahaja daripada kelab ini.
“Saya rasa itu silap FAM untuk menjadikan De Paula dan Liridon Krasniqi sebagai projek jangka masa pendek.
Itu adalah satu kesilapan daripada pihak mereka,” katanya pada sesi sidang media bersama peminat pada Isnin.
Untuk rekod, De Paula dan Liridon merupakan antara tiga pemain naturalisasi selain Mohamadou Sumareh di bawah perancangan jangka pendek FAM yang membuka peluang kepada para pemain naturalisasi untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya.
Bagaimanapun, De Paula gagal menyerlah pada aksi kelayakan itu manakala Liridon pula digugurkan oleh Kim Pan-gon ketika mengumumkan senarai akhir pemain yang bakal beraksi.
Mengulas lanjut, Tunku Ismail berkata, program perancangan jangka pendek FAM itu sebenarnya satu langkah yang baik.
Bagaimanapun katanya, pemilihan pemain bagi program berkenaan disifatkan kurang tepat kerana pemain yang dipilih sudah agak berusia.
Sementara itu, pada sidang media berkenaan Tunku Ismail berkata, tonggak pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools bakal menyarung jersi skuad Harimau Selatan itu, bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M), musim depan.
Malah menurut Tunku Ismail, pihaknya memang berhasrat untuk membawa Cools ke JDT musim ini, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana perlu membayar pampasan terlalu tinggi kepada kelab Denmark, FC Midtjylland.
“Saya dan Dion Cools mempunyai hubungan baik yang begitu lama dan beliau memang mahu bermain di sini, akan tetapi, situasi sekarang adalah sedikit susah untuk pihak kami kerana perlu membayar pampasan untuk tebus kontrak beliau.
“Saya akan menandatangani Cools kemungkinan pada hujung tahun ini atau tahun hadapan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!