Terbuka Malaysia: Daren terkandas lagi

Liew Daren beraksi ketika menentang pemain perseorangan lelaki India Prannoy H S pada perlawanan pusingan kelayakan Kejohanan Petronas Terbuka Malaysia 2022 di Axiata Arena Bukit Jalil pada Selasa. - Foto Bernama
Liew Daren beraksi ketika menentang pemain perseorangan lelaki India Prannoy H S pada perlawanan pusingan kelayakan Kejohanan Petronas Terbuka Malaysia 2022 di Axiata Arena Bukit Jalil pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PEMAIN veteran negara Liew Daren masih belum mampu menamatkan penantian sembilan tahun untuk meneruskan kempen di kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2022 pada Selasa.

Pemain profesional berusia 34 tahun itu terkandas di pusingan pertama yang berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil selepas tewas kepada pemain India H S Prannoy.

Kali terakhir Daren melangkah ke pusingan kedua pada edisi 2013 selepas menewaskan Ajay Jayaram dari India 21-15, 21-11.

Pada perlawanan Selasa, Daren bermula pincang apabila tewas di set pertama 14-21, sebelum bangkit menguasai set kedua dengan 21-17.

Bagaimanapun, pada set penentuan, Daren ternyata gagal meneruskan rentak cemerlangnya sekali gus akur dengan kekalahan 17-21 kepada Prannoy.

Mengulas mengenai kekalahan pada Selasa, Daren mengakui bahawa sikapnya yang mahu segera menamatkan permainan membawa padah kepadanya hingga tewas kepada pemain di ranking ke-21 dunia itu.

Pemenang pingat gangsa kejohanan dunia Ong Yew Sin-Teo Ee Yi membuktikan bahawa mereka antara gandingan terbaik negara apabila menyingkirkan beregu muda Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri 21-19, 21-13.

Yew Sin memuji pasangan muda negara itu terutama pada perlawanan set pertama dan yakin mereka mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh pada masa depan.

Pasangan ke-10 terbaik dunia itu bakal berdepan pencabar hebat dari Taiwan yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo Lee Yang-Wang Chi-Lin yang mengecewakan Ruben Jille-Ties Van Der Lecq dari Belanda 21-9, 21-15.

Juara Terbuka Jerman 2022 Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Ramsani turut mara ke pusingan kedua selepas mengenepikan cabaran dari Jepun Keiichiro Matsui-Yoshinori Takeuchi 21-12, 21-12.

Sze Fei-Nur Izzuddin akan berdepan pilihan ketujuh dari India Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty yang menyingkirkan satu lagi pasangan negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun 21-18, 21-11.

Beregu wanita negara Low Yeen Yuan-Valeree Siow turut menempah slot di pusingan kedua selepas menyingkirkan pasangan Jerman Linda Efler-Isabel Lohau 17-21, 21-16, 21-19.

Tugas berat menanti pasangan negara apabila dijadual berdepan pilihan utama Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China yang terdahulu menewaskan pasangan Thailand Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard 21-7, 21-18. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!