Malayan Tigress fokus mantapkan bahagian tengah, serangan
PENGENDALI skuad wanita negara, Jacob Joseph mahu memantapkan posisi tengah dan serangan skuad Malayan Tigress itu menjelang Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Wanita 2022 di Binan City, yang berlangsung dari 4 hingga 12 Julai ini.
Menurut Joseph, kedua-dua posisi itu perlu diberikan perhatian serius dalam usaha mencatatkan kejayaan pada kejuaraan berkenaan.
“Pada saya, kelemahan ketara adalah pada bahagian pertahanan dan tengah, oleh itu dalam tempoh yang ada ini kita nak perbaiki kelemahan-kelemahan ini.
“Selain itu, pemain perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk berdepan dengan pasukan-pasukan handalan dalam kejuaraan berkenaan,” katanya pada Selasa.
Untuk rekod, Malayan Tigress mengharungi dua aksi persahabatan menentang Bangladesh, namun tewas 0-6 pada 23 Jun sebelum terikat tanpa jaringan pada pada 26 Jun.
Pada Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Wanita 2022, skuad negara bakal beraksi dalam Kumpulan A bersama Australia, Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand.
Sementara itu, kapten skuad Malayan Tigress, Steffi Sarge Kaur berkata, kedua-dua aksi persahabatan berkenaan merupakan persiapan terbaik menjelang saingan kejuaraan di Filipina berkenaan.
Katanya, menerusi kedua-dua aksi persahabatan itu segala kelemahan termasuk kelebihan pasukan dapat dikenal pasti dan diperbaiki dalam masa terdekat.
“Kedua aksi persahabatan dengan Bangladesh ini sebenarnya merupakan persiapan terbaik buat kita kerana mereka merupakan pasukan yang kuat dan telah lama beraksi bersama sebagai satu pasukan berbanding kita.
“Namun, ia menjadi persiapan terbaik buat kita yang akan berdepan dengan pasukan yang jauh lebih handal seperti Filipina, Thailand, Australia pada
Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Wanita 2022.
“Apa pun, saya percaya, rakan-rakan sepasukan akan berikan aksi terbaik untuk kita melakar ‘sesuatu’ pada kejuaraan kali ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!