Kepentingan hak pengguna syarikat penerbangan amat kritikal

Ka Siong ketika berucap secara dalam talian kepada para peserta webinar anjuran Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) bertema 'Melakar Era Baharu: Keperluan Perlindungan Pengguna Penerbangan Pada Hari Ini dan Seterusnya' pada Selasa. - Foto Bernama
Ka Siong ketika berucap secara dalam talian kepada para peserta webinar anjuran Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) bertema 'Melakar Era Baharu: Keperluan Perlindungan Pengguna Penerbangan Pada Hari Ini dan Seterusnya' pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keperluan untuk memastikan hak pengguna syarikat penerbangan ditingkatkan bagi memelihara kesejahteraan mereka dalam memastikan kepentingan rakyat sentiasa dilindungi amat kritikal, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, usaha sedemikian di tengah-tengah cabaran yang dibawa oleh pandemik, memerlukan kerjasama dan penglibatan yang meluas untuk memajukan industri penerbangan di peringkat tempatan dan global.

"Untuk bersedia dalam menghadapi masa depan, kita mesti merenung iktibar yang dipelajari daripada wabak itu, dan terus berusaha untuk menambah baik," katanya dalam ucapan beliau pada sesi webinar Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) bertajuk 'Charting a New Frontier: Aviation Consumer Protection Needs Today and Beyond'.

Katanya, Covid-19 mengesahkan betapa kepentingan pembangunan negara serta perjalanan udara amat kritikal, dan syarikat penerbangan serta lapangan terbang pula perlu cepat menyesuaikan diri dengan pengenalan peraturan baharu dalam menggerakkan perniagaan dan strategi operasi mereka semasa menghadapi wabak itu.

"Di pihak pemain industri dan penggubal dasar, adalah penting agar semakan dan kemas kini berterusan dibuat kepada aspek perundangan dan peraturan khusus lain yang mengawal hak pengguna, sambil mengekalkan daya saing dalam industri," katanya.

Ka Siong berkata, jalan menuju pemulihan adalah panjang dan berliku tetapi sektor penerbangan sedang menuju pemulihan.

"Kita semua boleh memainkan peranan dalam menambah baik perjalanan udara untuk pengguna dalam pemulihan. Dengan melaksanakan strategi yang sesuai, amalan industri yang baik, dan tindakan proaktif, kita akan dapat mengatasi kesan wabak ini bersama-sama,” katanya.

Ka Siong berkata, Malaysia meramalkan bilangan trafik penumpang udara pada 2022 adalah antara 32.6 juta dan 49 juta.

Beliau berkata, trafik penumpang tahunan Malaysia merosot mendadak daripada 109.2 juta pada 2019 kepada 26.7 juta pada 2020, dan terus menurun lagi kepada 11.0 juta pada 2021.

Beliau menambah, semasa kemuncak wabak itu, syarikat penerbangan mencatatkan penurunan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam kapasiti tempat duduk sebanyak 92.3 peratus tahun ke tahun pada Mei 2020, penurunan terbesar pernah berlaku dalam industri penerbangan Malaysia.

Webinar ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia, menampilkan 13 panel penceramah dan membawa lebih 200 pemimpin global industri berbincang dalam tiga topik berhubung penerbangan, yang berkaitan dengan perlindungan pengguna sebelum, semasa dan selepas wabak Covid-19.

Ia bertujuan mengukuhkan perlindungan pengguna penerbangan di samping terus memperkasa dan mendidik pengguna mengenai hak mereka.

Kelompok yang hadir termasuk kakitangan kerajaan dan pembuat dasar, pengawal selia dan badan perundangan, penyedia perkhidmatan penerbangan, syarikat penerbangan dan lapangan terbang yang mewakili pakar penerbangan, serta persatuan pengguna. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!