Marin kembali temui rentak di Terbuka Malaysia
JUARA dunia tiga kali dan bekas juara Olimpik, Carolina Marin berada di landasan yang tepat untuk kembali menjadi pencabar memburu gelaran meskipun belum pulih sepenuhnya selepas menjalani pembedahan lutut.
Kejohanan Terbuka Malaysia 2022 adalah kejohanan keempat disertainya selepas meraih gelaran keenam Kejohanan Eropah pada April lepas, setelah hampir setahun tidak beraksi akibat kecederaan dialaminya.
Atlet berusia 29 tahun dari Sepanyol yang kini berada di ranking kelima dunia, memerlukan 42 minit sebelum menyingkirkan pemain di ranking ke-45 dari Perancis Qi Xuefei 21-7, 21-16 pada perlawanan pusingan pertama perseorangan wanita di Arena Axiata, Bukit Jalil pada Selasa.
Ketika ditemui pemberita, Marin berkata beliau gembira dengan prestasi dipamerkan khususnya peningkatan dari segi perasaan ketika dalam gelanggang dan pergerakannya.
"Agak sukar apabila mengalami dua kecederaan di bahagian lutut, saya belum pulih sepenuhnya tapi ini adalah lumrah.
"Saya perlu terima, saya perlu melakukan apa boleh dilakukan dengan terbaik dan cuba untuk meneruskannya, terus memperbaiki pergerakan, perasaan di gelanggang, keyakinan dan pukulan yang saya telah berlatih selama ini," katanya.
Marin, pemain Eropah pertama memenangi pingat emas acara badminton di Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil pada 2016 tidak dapat mempertahankan pingat dimenanginya selepas mengalami kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL) di lutut kirinya, sebulan sebelum temasya itu.
Beliau mengalami kecederaan sama di lutut kananya pada aksi final Masters Indonesia 2019 sehingga menyebabkannya terpaksa berehat lapan bulan sebelum kembali ke gelanggang dengan memenangi gelaran keenam Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Bagaimanapun, Marin berkata beliau tidak mahu terburu-buru mengejar kejayaan tapi mengambil langkah demi langkah untuk kembali kepada tahap tertingginya dalam badminton, iaitu pemain digeruni lawan dan dirindui peminat.
"Permainan hari ini lebih baik berbanding dua minggu lepas di Terbuka Indonesia, saya perlu teruskan. Bagaimanapun, keadaan di stadium ini agak sukar kerana perlu bijak mengawal hantaran.
"Suasana yang hebat untuk mempunyai penonton di stadium, saya sangat rindukan suasana ini...
"Tapi saya lagi rindu untuk bermain dalam kejohanan, dengan penonton yang hebat, setiap mereka menjerit menyokong dan apabila melangkah ke dalam gelanggang dengan sorakan penyokong, ia satu yang sangat istimewa setelah tidak dapat beraksi selama setahun," katanya mengenai kehadiran penyokong di Arena Axiata.
Marin bakal berdepan pemain dari Denmark Line Hojmark Kjaersfeldt yang menewaskan Putri Kusuma Wirdani dari Indonesia 21-14, 10-21, 21-16. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!