Buatlah keputusan terbaik untuk rakyat
AKHBAR ini pernah memuji tindakan kerajaan yang mengambil langkah berani untuk menyelesaikan harga ayam yang melambung tinggi sejak Disember lalu.
Langkah tersebut diambil sebagai tindak balas kepada penternak-penternak ayam yang terus menerus menekan kerajaan supaya harga ayam tidak dikawal sebaliknya mengikut harga pasaran.
Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab kepada rakyat, memang ketegasan supaya tidak tunduk kepada desakan pemain-pemain industri itu adalah tindakan yang amat wajar demi rakyat di negara ini.
Bagaimanapun, 'peperangan' dan usaha untuk menurunkan harga ayam ini nampaknya masih belum berakhir.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa harga ayam akan diapungkan mengikut harga pasaran, namun beliau kemudian membuat keputusan untuk tidak melaksanakan perkara tersebut.
Ini kerana terdapat pelbagai spekulasi berhubung harga ayam yang didakwa boleh meningkat sehingga RM15 sekilogram.
Bagaimanapun, kita amat berharap isu yang masih tidak berkesudahan ini dapat diselesaikan segera.
Difahamkan, hari ini kabinet dijangka membuat keputusan mengenai harga siling baharu ayam.
Keputusan itu akan dibuat susulan daripada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara pada Isnin.
Difahamkan, penetapan harga siling baharu diselaraskan dengan mengambil kira bantuan tunai tambahan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan Ismail Sabri baru-baru ini.
Penyelesaian segera perlu dilakukan kerana masih banyak lagi perkara penting yang perlu diselesaikan oleh kerajaan pada masa ini.
Perdana Menteri perlu memberikan tumpuan yang penuh untuk memastikan bahtera yang kita layari pada ketika ini keluar dari 'taufan' yang sedang membadai di seluruh dunia.
Peribahasa Melayu ada mengatakan 'patah kepala bertongkat paruh, patah paruh bertelekan' yang membawa maksud supaya dalam menghadapi cabaran semasa kita semua tidak mudah putus harapan dan teruslah berikhtiar.
Tidak dinafikan bahawa kerajaan telah membuat banyak keputusan-keputusan penting yang menyebelahi rakyat dan kita berharap agar kerajaan akan terus membuat keputusan yang tepat ini demi kesejahteraan rakyat di negara ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!