Penduduk kekal tolak tawaran kitar semula pemaju

Bantahan penduduk isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru yang diadakan pada 16 April lalu.
Bantahan penduduk isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru yang diadakan pada 16 April lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Unit ganti dianggarkan bernilai RM2. 5 juta ditawarkan oleh pemaju bagi pembangunan semula Kampung Sungai Baru di sini dianggap lumayan namun penduduk mendakwa perjanjian tersebut masih samar dan tiada jaminan masa depan buat mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres dan Flat Sungai Baru, Lele Suzana Kudari berkata, kos pampasan melalui unit gantian yang ditawarkan itu dianggap belum memadai memandangkan penduduk tidak yakin projek tersebut mampu dilaksanakan atau sebaliknya.

Menurutnya, penduduk tidak diberi banyak pilihan sebaliknya tawaran terakhir yang diberikan melalui sesi libat urus pada 7 Jun lalu merupakan tawaran 'kitar semula' yang diberikan oleh pemaju pada 2017.

"Pemaju seolah tak nak berbincang dan masih mahu mengekalkan tawaran sama, yang sudah ditolak awal.

"Penduduk patut diberi tawaran lebih baik dalam bentuk tunai dan unit. Kalau bagi unit saja, kita tak tahu masa depan kita, kalau projek tak jalan apa akan jadi kepada penduduk. Jaminan itu tak ada.

"Kalau pemaju benar-benar berminat dengan tanah kami dan mereka ada duit untuk bangunkan tanah ini, mereka patutnya boleh datang dan berikan lebih daripada satu tawaran kepada kami bukan konsep 'take it or leave it'," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Lele Suzana
Lele Suzana

Setakat ini seramai 291 penduduk telah bersetuju dengan usahasama pembangunan semula kawasan itu manakala 37 pemilik rumah teres masih membantah pengambilan tanah bagi tujuan itu.

Susulan isu pengambilan tanah yang gagal mencapai kata sepakat itu, Lele Suzana meluahkan kebimbangan sekiranya proses Akta Pengambilan Tanah 1960 melibatkan sesi pendengaran kedua yang ditangguhkan sejak Disember lalu disambung semula dalam masa terdekat.

"Kami sangat risau, apa akan jadi dengan nasib kami apabila Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Yasir Yahya maklumkan akan kuat kuasa kembali proses pendengaran kedua itu.

" Rumah kami sudah habis bayar dan tiada hutang. Kebanyakan yang tinggal di sini sudah pencen, kemudian mahu ambil tanah kami di tengah bandar begitu sahaja tanpa pampasan yang setimpal. Pada saya ini memang tidak adil.

" Kami bayar cukai pintu, cukai tanah, jaga kawasan perumahan kami tetapi jika kerajaan mahu ambil tanah tanpa menekankan pampasan setimpal, pada saya itu sudah melanggar hak asasi manusia," katanya.

Beliau sekali lagi memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob campur tangan berhubung isu pengambilan tanah tersebut bagi memastikan penduduk dan pemaju mencapai kata sepakat dan situasi menang-menang buat kedua belah pihak.

Pada Isnin, Muhammad Yasir menerusi kenyataan media dikeluarkan memberitahu Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan bersetuju pengambilan tanah diteruskan kerana proses tersebut telah pun dilaksanakan dengan sempurna dan majoriti penduduk bersetuju di atas pembangunan semula Kampung Sungai Baru.

Jelasnya, satu pertemuan antara penduduk yang terlibat akan diadakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim bagi memberi penerangan dan juga penjelasan untuk membolehkan semua pihak yang terlibat dalam situasi menang-menang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!