Bomba teruskan cari Acap
BESUT - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang dilaporkan hilang ketika menyertai larian lasak, Gopeng Ultra Trail (GUT) di kawasan Gua Tempurung, Perak akan diteruskan namun dalam skala kecil.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, pihaknya memutuskan untuk meneruskan operasi SAR sehingga mangsa yang dilaporkan hilang itu ditemui.
“Walaupun ada agensi lain yang akan menamatkan SAR hari ini, tapi bomba akan teruskan sehingga mangsa ditemui.
"Berapa lama operasi SAR ini akan dijalankan? Ia bergantung kepada keadaan semasa. Ada waktu kita tidak dapat masuk ke kawasan berkenaan dalam tempoh masa tertentu atau masa yang dilarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kempen Keselamatan Kebakaran Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2019 di Sekolah Kebangsaan Pulau Perhentian di sini, hari ini.
Majlis perasmian itu disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek.
Mohammad Hamdan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan wujud unsur mistik terhadap kehilangan pemuda itu.
“Kita sendiri percaya tentang kewujudan makhluk halus dan sebab itu selain operasi SAR bersama agensi berkaitan kita turut menggunakan kepakaran ustaz dan masyarakat Orang Asli di sana,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
'Acap kamu dimana sekarang' - Netizen
Sudah tiga hari, Ashraf belum ditemui
Op SAR dilanjutkan hingga Sabtu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!