Pastikan sahih jika ditawarkan visa furada

Idris
Idris
A
A
A

KUALA LUMPUR - Umat Islam di negara ini dinasihatkan supaya lebih teliti dan berhati-hati sebelum menggunakan khidmat mana-mana pihak yang menawarkan visa furada bagi menunaikan ibadah haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, ini bagi mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa penipuan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menawarkan pakej haji palsu.

"Visa furada adalah visa yang tidak berkaitan dengan Tabung Haji (TH).

"Kita harapkan biar ‘verify’ (sahkan) elok-elok. Kita tak mahu nanti apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini, bebannya nanti diletakkan pada TH.

"Sebab itu kita harapkan supaya apa sekalipun, pastikan supaya visa itu memang tulen dan ada penerbangan dan penginapan di sana. Itu yang kita harapkan kepada mereka kalau ditawarkan dengan visa furada ini,” katanya kepada Bernama.

Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi tanpa melibatkan jumlah kuota yang diperoleh TH.

Bernama sebelum ini melaporkan hasil tinjauan menerusi media sosial mendapati promosi berkaitan visa furada semakin rancak dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menjanjikan bakal jemaah berlepas pada 5 Julai.

Promosi itu agak meragukan kerana Arab Saudi telah menetapkan penerbangan terakhir bagi haji adalah pada 4 Julai apatah lagi ia semakin hampir dengan Hari Wukuf.

Pakej yang ditawarkan bermula daripada RM38,000 hingga RM56,000 dengan bayaran pendahuluan RM15,000 untuk urusan visa di Kedutaan Arab Saudi.

Meskipun meminta deposit, pelanggan dimaklumkan peluang ke Tanah Suci hanyalah 50-50, dan sekiranya gagal, wang akan dikembalikan pada tempoh yang tidak dapat dipastikan atau pemohon boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa berdasarkan resit yang akan diserahkan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!