Konvensyen BN Sabah bincang isu semasa
KOTA KINABALU - Konvensyen Barisan Nasional (BN) Sabah 2022 yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini akan menjadi medan memperkukuhkan solidariti parti komponen BN di negeri ini.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, konvensyen yang dihadiri kira-kira 5,000 peserta itu bakal menjadi saksi betapa kukuhnya kesepakatan gabungan parti yang turut memberikan sumbangan terbesar kepada pembentukan kerajaan Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Katanya, konvensyen itu berkemungkinan menjadi pertemuan terakhir ahli parti sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Justeru, ahli-ahli BN khususnya peserta yang hadir ke konvensyen ini perlu memanfaatkan pertemuan ini bagi membincangkan isu-isu yang relevan untuk memperkasa perjuangan parti, melihat secara jujur segala rencana dan pelan BN dalam mengatur persedian menghadapi PRU akan datang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, BN adalah satu gabungan politik yang memerlukan barisan kepimpinan dan jentera daripada semua parti komponen yang bersatu hati untuk menghadapi PRU15.
"Walaupun kita hanya ada empat parti dalam kompenan BN di Sabah namun kita memerlukan antara satu sama lain untuk terus mendokong kerajaan yang ada.
"BN perlu mengambil pendekatan terutamanya merapatkan barisan kepimpinan dalaman dan menyatukan seluruh jentera di semua peringkat sebelum kita berhadapan PRU yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja," katanya.
Katanya lagi, persiapan sangat penting bukan sahaja dari segi jentera pilihan raya tetapi gerak kerja yang dilakukan berbeza dengan pilihan raya sebelum ini.
"Kita mahu kewujudan BN itu bukan sahaja dihargai namun sentiasa dekat dihati rakyat sebagai jenama yang sentiasa memperjuangkan kepentingan negara dan rakyat," ujarnya.
Konvensyen yang akan diadakan di Pusat Komersial dan Teknologi Antarabangsa (ITCC) di Penampang itu akan diisi dengan pelbagai program seperti forum dan kehadiran ahli-ahli politik negara termasuk Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak serta perasmian penutupan disempurnakan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!