Jeram Toi: Kemusnahan 'luar biasa'

A
A
A

JELEBU - Kesan kemusnahan Taman Eko Rimba Jeram Toi di sini akibat banjir besar pada Disember tahun lalu masih kelihatan sehingga kini.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Saleh Awaludin berkata, kesan bencana itu agak besar malah semua kemudahan di Jeram Toi telah musnah akibat banjir dan memang di luar kebiasaan.

"Keadaan struktur Sungai Toi juga berubah semakin melebar dan dalam serta wujudnya aliran air sungai baharu.

“Kesan-kesan kemusnahan dan runtuhan masih jelas kelihatan. Banyak pokok tumbang dan longgokan pokok kayu masih lagi berada di sungai dan berkumpul di situ selain tanah, selut dan pasir yang menyebabkan air agak keruh," katanya.

Keadaan runtuhan tanah yang berlaku masih kelihatan.
Keadaan runtuhan tanah yang berlaku masih kelihatan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerja-kerja pembaikan dan pembinaan semula Taman Eko Rimba Jeram Toi yang musnah akibat banjir pada Disember lalu akan mengambil masa lama.

Jelas Aminuddin, pusat rekreasi itu bagaimanapun akan kekal sebagai antara kawasan pelancongan di Negeri Sembilan malah ia akan dibangunkan semula secara berfasa dan sebagai permulaan melibatkan kos antara RM2 juta sehingga RM3 juta.

Dalam pada itu Saleh berkata, lokasi berkenaan hanya boleh dibuka untuk kunjungan orang ramai apabila ia benar-benar bersedia selepas menilai semua risiko.

"Kawasan itu masih berisiko kerana banyak batu-batu serta kayu tajam reput, malah terdapat juga dawai dan kawat daripada runtuhan infrastruktur serta serangga berbahaya," katanya.

Saleh
Saleh

Tambah Saleh, setakat ini kerja-kerja membangunkan semula Taman Eko Rimba Jeram Toi difokuskan kepada pembaikan jalan dan tebing yang runtuh termasuk di kawasan laluan masuk.

"Kerja-kerja pembersihan hutan lipur ini seperti mengalihkan batu-batu runtuhan, pokok-pokok kayu tumbang dan membinanya semula sebagai lokasi tarikan pelancong mengambil sedikit masa.

"Selepas ini pembangunan dan membina semula infrastruktur baharu seperti tandas, surau dan pejabat juga perlu dilakukan di kawasan yang lebih selamat dan bukannya di tapak yang sedia ada sebelum ini," katanya.

Menurutnya lagi, sejak kejadian banjir besar berlaku, Jeram Toi sudah banyak berubah, aliran sungai dan air terjun juga sudah cantik.

"Justeru, perancangan pembangunan kelak mengambil kira perkara itu termasuk risiko berulangnya kejadian hujan lebat berterusan dan banjir,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!