Pemulihan ekonomi Malaysia kekal meyakinkan: Perangkaan

Pemulihan ekonomi kekal meyakinkan dengan trend yang lebih baik ditunjukkan oleh prestasi makroekonomi Malaysia. - Foto 123rf
Pemulihan ekonomi kekal meyakinkan dengan trend yang lebih baik ditunjukkan oleh prestasi makroekonomi Malaysia. - Foto 123rf
A
A
A

PEMULIHAN ekonomi kekal meyakinkan dengan trend yang lebih baik ditunjukkan oleh prestasi makroekonomi Malaysia pada April 2022 di sebalik ketidaktentuan global, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, selepas lebih dua tahun berdepan krisis kesihatan global yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang telah mengubah landskap sosioekonomi dunia secara ketara, negara seterusnya melaksanakan proses pemulihan melalui strategi peralihan keluar yang lebih meluas bagi meningkatkan kemajuan ekonomi dan kesihatan awam.

"Walaupun orang awam telah mula menyesuaikan diri dengan kehidupan fasa endemik, ancaman baharu pula muncul dalam bentuk gangguan rantaian bekalan akibat ketegangan geopolitik yang berterusan antara Rusia dan Ukraine, keadaan cuaca yang tidak menentu dan permintaan yang meningkat berikutan pelonggaran sekatan berkaitan kesihatan di kebanyakan negara,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Meneliti prestasi makroekonomi Malaysia pada April 2022, Mohd Uzir berkata, Malaysia dilimpahi dengan sumber asli dan komoditi seperti produk petroleum dan minyak sawit.

"Sebagai pengeksport komoditi bersih, negara ini turut mendapat manfaat daripada harga komoditi yang lebih tinggi, menyebabkan jumlah perdagangan Malaysia kekal kepada pertumbuhan tahunan dua digit sebanyak 21.3 peratus kepada RM231.4 bilion,” katanya.

Eksport meningkat 20.7 peratus kepada RM127.5 bilion, manakala import naik 22.0 peratus kepada RM103.9 bilion.

Imbangan dagangan menokok 15.7 peratus dan masih kekal dalam lebihan pada RM23.5 bilion.

"Prestasi perdagangan Malaysia kekal berdaya tahan pada Mei 2022, mencatatkan pertumbuhan terpantas sejak November 2021 dengan jumlah dagangan melepasi RM1 trilion," katanya.

Mohd Uzir berkata, melangkah ke hadapan, Malaysia dijangka mengekalkan pemulihan ekonomi yang lebih baik pada bulan-bulan akan datang.

"Indeks Pelopor pada April 2022 mencatatkan 110.8 mata dengan pertumbuhan yang lebih baik kepada negatif 0.5 peratus tahun ke tahun berbanding negatif 1.4 peratus pada Mac 2022.

"Diharapkan, hala tuju trend pemulihan ekonomi terus kekal lebih baik pada masa akan datang meskipun berhadapan dengan ketidaktentuan global,” katanya.

Menurutnya, seiring dengan itu, S&P Global Rating baru-baru ini telah menyemak semula prospek penarafan Malaysia daripada ‘negatif’ kepada ‘stabil’ berdasarkan keyakinan bahawa negara berada di landasan pemulihan ekonomi yang kukuh berbanding negara dalam kumpulan pendapatan setara. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!