Kerajaan Perak bantu veteran tentera ceburi pertanian

Abdul Manaf (tiga dari kanan) menyampaikan sijil kepada bakal pesara tentera di Majlis Penyampaian Sijil Perhebat dan Program Reskilling dan Upskilling Veteran ATM di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Seri Iskandar, pada Rabu.
Abdul Manaf (tiga dari kanan) menyampaikan sijil kepada bakal pesara tentera di Majlis Penyampaian Sijil Perhebat dan Program Reskilling dan Upskilling Veteran ATM di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Seri Iskandar, pada Rabu.
A
A
A

SERI ISKANDAR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan negeri Perak akan membantu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk terlibat dalam menjaga dan memperkasa keselamatan makanan negara.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sehubungan itu, golongan veteran tentera amat digalakkan untuk menceburi bidang pertanian.

Menurutnya, veteran tentera juga digesa merebut peluang menyertai program-program yang disediakan jabatan atau agensi berkaitan pertanian.

"Kita semua sedia maklum bahawa isu keselamatan makanan atau 'food security' semakin mencabar. Kenaikan harga, kekurangan bekalan dan kekurangan tenaga kerja dalam bidang pertanian semakin serius.

"Jika kita tidak menguruskannya dengan baik, ia bakal mengakibatkan krisis bekalan makanan dalam negara kita.

"Saya berharap jabatan dan agensi berkenaan dapat membantu memberi bimbingan kepada veteran untuk terlibat secara aktif dalam program pemerkasaan sekuriti makanan," katanya ketika berucap di Majlis Penyampaian Sijil Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) dan Program Reskilling dan Upskilling Veteran Angkatan Tentera (ATM) di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), di sini pada Rabu.

Teks ucapan beliau dibacakan Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Datuk Abdul Manaf Hashim.

Hadir sama pada majlis tersebut, Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, Khairudin Abu Hanipah dan Timbalan Ketua Pengarah Perhebat, Kapten (B) Mohd Radzi Mohd Ali.

Dalam pada itu, Mohd Radzi berkata, setiap tahun Perhebat melahirkan seramai 5,000 hingga 6,000 pelatih dalam kalangan veteran tentera dalam pelbagai bidang kemahiran.

Menurutnya, daripada jumlah itu, kira-kira 40 peratus daripadanya terlibat dalam bidang pertanian dan penternakan.

"Ada dalam kalangan veteran tentera ini mempunyai tanah sendiri untuk diusahakan dan mereka juga mempunyai pengalaman terlibat dalam pertanian.

"Bagaimanapun kita berharap kerajaan negeri dan agensi berkaitan dapat membantu menyediakan tanah untuk diusahakan bagi tujuan pertanian secara berkelompok bagi bekas tentera yang tidak mempunyai tanah sendiri," katanya.

Sementara itu pada majlis penyampaian sijil berkenaan, seramai 246 bakal veteran tentera berjaya menamatkan latihan peralihan sebagai persediaan kerjaya kedua setelah tamat perkhidmatan bersama ATM.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!