Akta dana politik: Beri garis panduan bezakan rasuah atau sumbangan

Asyraf Wajdi menjadi tetamu jemputan pada Program Bersama Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Rabu.
Asyraf Wajdi menjadi tetamu jemputan pada Program Bersama Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Akta pendanaan politik perlu segera digubal untuk memberi garis panduan bagaimana sesuatu dana itu dianggap rasuah atau sumbangan.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keperluan penggubalan akta itu turut disuarakan kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dalam pertemuan antara mereka pada Selasa.

"Saya lontarkan kenapa pentingnya kita adakan satu akta dana politik kerana sekarang semacam ada garis yang terlalu halus antara (takrifan) rasuah dan (maksud) menerima sumbangan.

"Contohnya, saya sebagai Ketua Pemuda Umno dan ada pihak yang yakin dengan perjuangan saya lalu nak menyumbang dan sumbangan itu ikhlas katanya. Tapi apakah sumbangan itu dianggap sebagai rasuah?," soalnya.

Beliau berkata demikian selaku tetamu jemputan pada Program Bersama Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Rabu.

Justeru itu, menurutnya, garis panduan perlu ada bagi mengelakkan pemimpin keliru sekali gus membuatkan mereka terjebak dengan rasuah.

"Sebab itu perbincangan saya dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM juga terkait dengan soal undang-undang dan perlunya ada sistem dalaman untuk menentukan sesuatu dana itu adalah sumbangan. Umpamanya kalau betul itu sumbangan, kita harus ada pelaporan dan ketelusan.

"Contohnya, seandainya Tan Sri bagi saya amaun tertentu untuk dilaksanakan program pembangunan atau pendidkan parti dan sebagaimya, saya sebagai ketua harus melaporkan supaya ahli akar umbi atau sekurang-kurangnya kepimpinan tahu ini ada duit yang masuk," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!